KUALA LUMPUR: PMB Investment Berhad (PMB Investment), anak syarikat pelaburan MARA Berhad, menyasarkan mengumpul sebanyak RM20 juta dalam masa tiga bulan untuk dana PMB Shariah Greater China Equity Fund (PMBSGCEF) yang baru dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, China dipilih kerana pihaknya belum mempunyai dana yang menyasarkan wilayah tersebut.
“Kami juga berpendapat China merupakan pasaran yang sangat besar dengan permodalan pasarannya bernilai kira-kira RM23 bilion selain berpotensi untuk meningkat pesat ekoran pembukaan semula aktiviti ekonominya.
“Buat masa ini, saham-saham syarikat yang tersenarai di bursa tersebut masih berada pada paras yang menarik. Itu menjadi faktor utama menarik minat kami untuk melancarkan dana seperti ini.
“Kami turut menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM20 juta dalam masa tiga bulan menerusi dana tersebut,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran dana itu hari ini.
Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Mahani, strategi pelaburan PMBSGCEF ialah, dengan melabur antara 70 hingga 99.5 peratus daripada nilai aset bersihnya ke dalam ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti yang tersenarai di bursa China, namun tidak terhad kepada DJIM Greater China Index.
Dalam pada itu, PMB Investment turut menyasarkan untuk mencapai jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM2 bilion menjelang 2023.
Menurut Mahani, sasaran itu adalah berdasarkan beberapa dana terbaharu yang dirancang untuk diperkenalkan pada tahun ini dan 2023.
“Sasaran AUM adalah sebanyak RM2 bilion dalam tempoh setahun akan datang. PMB Investment yakin dapat mencapai AUM ini,” jelasnya.
Sementara itu, Mahdzir berkata, PSGCEF yang juga dana ke-19 PMB Investment, bakal memberi peluang kepada pelabur memperoleh keuntungan dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Dana pelaburan syariah ini sesuai untuk pelabur yang mempunyai tahap risiko sederhana hingga tinggi serta mencari pelaburan yang mampu memberi pulangan stabil dalam tempoh tiga tahun atau lebih.
“Saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan pelaburan yang ada, PMB Investment akan berupaya memberikan prestasi dan pulangan berpatutan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










