Bursa Malaysia dijangka berada di paras rendah - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka berada di paras rendah

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka akan terus berada di paras rendah disebabkan faktor kenaikan kadar faedah di negara maju.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, selain itu, faktor inflasi yang dijangka kekal tinggi berikutan komoditi yang kian meningkat juga akan memberi impak kepada prestasi Bursa Malaysia.

“Prestasi kewangan syarikat tersenarai pada suku pertama tahun ini juga dilihat bercampur-campur dan prospek bagi tahun ini juga akan terus mencabar.

“Kenaikan harga bahan mentah, gangguan terhadap rantaian perniagaan dan kesukaran mendapatkan pekerja dijangka akan mengehadkan prospek keuntungan meskipun ekonomi negara sudah dibuka.

“Begitu juga dengan prestasi ringgit yang nilainya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan terus meruap berikutan suasana kadar faedah di AS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Justeru, ujarnya, buat masa ini, mod pelaburan bersifat defensif di mana para pelabur terutamanya pelabur institusi akan cenderung untuk menambahkan pegangan tunai bagi melindungi prinsipal pelaburan.

Namun, dari segi penilaian indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), ia berada di paras yang menarik di mana nisbah harga kepada pendapatan (PE) berada di sekitar 15 kali berbanding nilai purata iaitu 17 kali.

“Justeru, indeks FBM KLCI berada ditahap terkurang nilai. Jadi, buat masa ini, harga saham di Bursa Malaysia berada di paras yang kompetitif dan peluang harga saham-saham ini untuk naik sememangnya ada.

“Oleh itu, horizon pelaburan perlu jangka panjang dan bukannya jangka pendek sekiranya mahu merealisasikan keuntungan yang tinggi,” katanya.

Setakat petang semalam, penanda aras FBM KLCI turun 0.27 mata menjadi 1,525.66 daripada 1,531.51 pada pembukaan Rabu.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 539 berbalas 369 manakala 354 kaunter tidak berubah dan 1,012 kaunter tidak didagangkan.

Pada pukul 4 petang semalam, nilai mata wang tempatan ialah pada 4.3925/3982 berbanding dolar AS daripada 4.3930/3930 pada pembukaan Rabu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN