PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyerahkan dua buah kereta Proton X50 kepada dua pemenang Kempen ‘Nak Cuti Le Tuu…’ yang berlangsung dari 8 Januari sehingga 7 April lalu.
Kempen itu bertujuan untuk menggalakkan budaya tanpa tunai dalam kalangan pelanggan Bank Islam dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan menerusi aplikasi GO by Bank Islam dan platform Perbankan Internet Bank Islam termasuk DuitNow, JomPAY dan FPX.
Pemenang Hadiah Utama, Rozanna Purwanti Abdul Wahab berkata, dia tidak menyangka terpilih sebagai pemenang kempen tersebut.
“Perkhidmatan dalam talian sentiasa menjadi pilihan kerana urusan perbankan yang lebih mudah dan cepat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemenang, Muhammad Shahrul Hafiz berkata, dia kerap menggunakan aplikasi GO by Bank Islam untuk melakukan transaksi perbankan, khasnya pindahan dana ke akaun Tabung Haji untuk simpanan haji kelak.
“Perkhidmatan ini amat memudahkan kehidupan saya dan saya akan terus menggunakannya. Saya anggap kemenangan ini adalah satu bonus setelah menggunakan perkhidmatan Bank Islam ini,” ujarnya.
Pelanggan Bank Islam juga boleh menyempurnakan urusan Tabung Haji mereka dengan mudah dan segera menerusi kedua-dua saluran digital Bank Islam termasuk pertanyaan baki, sejarah transaksi, menghubungkan akaun Tabung Haji dengan Kad Debit-i Bank Islam, pemindahan dana antara akaun Tabung Haji dan Bank Islam serta pendaftaran haji.
Penyampaian hadiah Kempen ‘Nak Cuti Le Tuu…’ telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam, Mohammed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Pengarah eChannels Bank Islam, Romina Talib dalam majlis yang diadakan di Pusat Pameran Proton Subang Jaya, 20 Jun lalu. – UTUSAN










