KUALA LUMPUR: Selepas gagal mendapatkan lesen perbankan digital, Pertama Digital Berhad (PDB) sedang mencari rakan kongsi dengan sebuah bank di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.
Pengerusinya, Tun Zaki Azmi berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan banyak persatuan dan rakan kongsi untuk menyediakan cadangan yang menarik untuk permohonan lesen bank digital.
“Terdapat banyak data yang kami peroleh untuk membentuk pelan perniagaan yang sangat kukuh yang kini digunakan untuk bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk mengendalikan perbankan baharu itu.
“PDB kini sedang berusaha dan berbincang dengan bank-bank konvensional sedia ada untuk melaksanakan perkhidmatan tersebut.
“Kami akan mengumumkan butirannya sebaik sahaja ia dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini, semalam.
Pertama Digital juga merancang untuk menubuhkan bank neo pertama di Malaysia menerusi perkongsiannya dengan sebuah bank tersebut.
Bank neo itu menawarkan perkhidmatan perbankan secara digital sepenuhya dan tiada kehadiran fizikal, kebiasaannya dikendalikan menerusi perkongsian dengan bank tradisional dan memberi tumpuan kepada pasaran lebih khusus.
Berbeza dengan bank digital, bank neo tidak perlu mempunyai lesen perbankan kerana boleh menggunakan lesen perbankan daripada rakan kongsi.
Tambah Zaki, teknologi mudah alih dan digital telah berkembang pada kadar yang memberangsangkan dan penyepaduan penyelesaian IT oleh agensi kerajaan dan enterpris di seluruh negara telah memperoleh momentum yang ketara.
“Itu juga telah dilihat dalam kemajuan dan pencapaian produk Pertama Digital seperti eJamin yang melaporkan sejumlah RM121.50 juta kutipan ikat jamin telah dikumpul pada tahun calendar 2021, MyPay Coin Conversion yang telah mengumpul 9 juta
keeping syiling terbiar bernilai hampir RM1.7 juta sejak dilancarkan pada April 2021, dan MySMS, yang menyokong pengesanan kenalan di seluruh negara seterusnya program vaksinasi Covid-1 menerusi perkhidmatan pemesejan bersepadu kepada setiap penduduk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, pengumuman mengenai kerjasama di antara pihaknya dengan sebuah bank tempatan itu akan dilakukan pada suku keempat tahun ini.
“Kami masih mengadakan perbincangan dengan lima bank tempatan sebelum memuktamadkan untuk memilih sebuah bank sebagai rakan kongsi.
“Selepas itu, proses untuk menubuhkan bank neo itu dijangka mengambil masa 12 bulan dan kami jangka ia akan boleh mula beroperasi pada akhir tahun depan.
“Penubuhan bank digital dijangka membabitkan pelaburan sekitar RM500 juta untuk tempoh tiga tahun. Namun bagi penubuhan bank neo, ia dijangka melibatkan sekitar 20 peratus daripada jumlah itu,” katanya.
Selain itu, syarikat tersebut juga sedang meninjau peluang yang lebih besar dalam ruang pendigitalan kerajaan dan enterpris, dengan rancangan untuk mengembangkan lagi penawarannya di lebih banyak lokasi dan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam dengan lebih meluas. – UTUSAN










