PETALING JAYA: AirAsia bakal melaksanakan inisiatif yang inovatif melalui pemasangan perisian Descent Profile Optimiser (DPO) pada pesawat A320ceo bermula pada Jun sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, Ahad ini.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja akan membantu menjana penjimatan bahan api malah mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) dengan ketara.
Katanya, penambahbaikan kepada pangkalan data Sistem Pengurusan Penerbangan (FMS) dalam rangkaian pesawat itu membolehkan setiap pesawat mengoptimumkan fasa penurunan penerbangan dan meminimumkan jumlah masa ketidakcekapan pesawat tersebut.
“Inisiatif baharu itu dijangka mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 0.75 peratus daripada pembakaran bahan api sedia ada bersamaan dengan penjimatan 101 kg pelepasan CO2 untuk setiap penerbangan.
“Ia akan mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak lebih 221 tan bagi setiap pesawat pada setiap tahun, menjadikan Operasi Penerbangan lebih lestari dengan lebih ketara.
“Setelah dipasang pada 17 pesawat pada peringkat awal, ia akan mengurangkan sebanyak 3,764 tan CO₂ pada setiap tahun atau bersamaan dengan 62,700 pokok yang ditanam di kawasan bandar berdasarkan Pengiraan Kesetaraan Gas Rumah Hijau EPA AS,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), Bo Lingam berkata, industri pelancongan kini telah mula pulih dan kami menjangka untuk kembali ke tahap pra pandemik menjelang akhir tahun ini.
Justeru, katanya, penting untuk syarikat menyemak semula strategi kelestariannya dan melaksanakan inisiatif serta proses baharu yang akan membantu meminimumkan kesan terhadap alam sekitar melalui operasi penerbangan.
“Melalui pemasangan perisian penyelesaian pengoptimuman operasi penerbangan baharu ini pada pesawat A320ceo sedia ada, ia membolehkan kami untuk mengurangkan jejak karbon untuk jangka masa pendek dan sederhana sementara kami meningkatkan penggunaan pesawat A321neo yang akan menjimatkan bahan api untuk jangka masa panjang,” katanya.
Lingam berkata, berdasarkan situasi perubahan iklim dan penglibatan industri penerbangan terhadap pelepasan sisa karbon, keutamaan syarikat adalah untuk mengurangkan jejak karbon dalam usaha ke arah kelestarian alam sekitar dan berharap untuk mengurangkan lagi pelepasan CO₂ sebanyak 221 tan untuk setiap pesawat pada setiap tahun melalui sistem DPO berkenaan.
“Kami kekal komited untuk memastikan bukan sahaja kami membina sebuah syarikat penerbangan yang lestari tetapi sejajar dengan matlamat kemampanan pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN










