PETALING JAYA: Untung sebelum cukai (PBT) KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) pada suku pertama tahun kewangan 2022 (S1TK22) melonjak 89 peratus kepada RM38.1 juta berbanding suku sama tahun lalu.
Ia didorong oleh peningkatan hasil syarikat sebanyak 7 peratus kepada RM651.9 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Pencapaian itu sekali gus melonjakkan keuntungan selepas cukai (PAT) KPJ Healthcare sebanyak 73 peratus kepada RM26.4 peratus daripada RM15.2 peratus suku sama 2021.
Kadar Penggunaan Katil (BOR) turut meningkat kepada 47 peratus, dengan sejumlah 812,720 pesakit pada suku dilaporkan.
“Setakat 31 Mac 2022, lembaran imbangan KPJ Healthcare kekal kukuh dengan kedudukan tunai bersih yang positif. Pertumbuhan keuntungan bagi suku pertama berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya dipacu oleh langkah-langkah penghematan dan proaktif yang diambil Syarikat untuk menampung kos operasi dan melindungi margin semasa menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Berasaskan prestasi kukuh itu, Syarikat mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.25 sen sesaham, dengan jumlah bayaran agregat RM11.3 juta, yang akan dibayar kepada pemegang saham KPJ Healthcare pada 29 Julai ini.
Mengulas prestasi tersebut, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, syarikat akan memberi tumpuan untuk memacu pertumbuhan yang berdaya tahan dengan mengambil peluang untuk perniagaan sampingan melalui bidang-bidang penting seperti lanjutan, perubatan jitu, genomik dan penjagaan ambulatori.
“Untuk mempertingkatkan keuntungan, kami sedang melaksanakan strategi transformatif untuk memendekkan tempoh pembangunan hospital baharu dan melupuskan barisan perniagaan yang tidak menguntungkan.
“Seiring usaha kami mengukuhkan daya tahan operasi kami yang disokong oleh pecutan transformasi digital dan pelaksanaan teknologi kami, kami yakin KPJ akan terus melangkah ke hadapan berlandaskan hala tuju strategik kami dan membuka peluang penciptaan nilai kepada para pemegang saham,” katanya.
Mengenai tinjauan untuk tahun kewangan 2022, beliau berkata, KPJ Healthcare mengunjurkan pertumbuhan permintaan yang berterusan bagi khidmat penjagaan kesihatan, berasaskan tahap kesedaran lebih tinggi terhadap penjagaan kesihatan dan juga peralihan lebih banyak negara kepada fasa endemik.
Katanya, peningkatan dalam bilangan prosedur perubatan elektif dan pemulihan sektor pelancongan perubatan juga dijangkakan pada tahun semasa.
“Pada TK2022, Syarikat memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kecekapan dan memulihkan hospital dan pelaburan dengan melaksanakan pelan transformasi dan strategi mengoptimumkan kos.
“Sejajar dengan matlamat mengutamakan penjagaan pesakit dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi digital bagi menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti dan termampu, Syarikat juga meneroka pelaburan berdaya maju untuk meluaskan keupayaan dalam penjagaan pencegahan penyakit dan kesejahteraan insan demi menyokong perkhidmatannya yang sedia ada,” katanya. – UTUSAN










