UEM Sunrise tiada rancangan naikkan harga rumah

UEM Sunrise tiada rancangan naikkan harga rumah

LAKARAN artis projek KAIA Heights yang dibangunkan oleh UEM Sunrise.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad tiada rancangan untuk menaikkan harga hartanah buat masa ini walaupun berdepan kenaikan kos bahan binaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sufian Abdullah berkata, pemaju hartanah itu masih belum terkesan ketara dengan peningkatan harga bahan binaan dan masih mampu menyerap kenaikan tersebut.

“Syarikat tidak bercadang untuk menyemak semula harga projek hartanah yang akan dilancarkan pada tahun ini.

“Harga jualan akan kekal untuk tahun ini, namun dengan sedikit pelarasan yang dibuat bukan disebabkan peningkatan harga bahan binaan, sebaliknya berkait dengan kos lain.

“Kenaikan harga bahan binaan adalah sesuatu yang kami sedang pantau dengan rapat. Ketika ini, cara kami mengatasi risiko kenaikan harga bahan binaan adalah dengan melaksanakan proses tender secara strategik termasuk menganjurkan program pembangunan vendor dengan vendor terpilih.

“Untuk jangka panjang, kami akan membiarkan semua pihak mengetahui jumlah permintaan untuk bahan binaan sekurang-kurang untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Itu membolehkan vendor melakukan anggaran atau menentukan jumlah bekalan yang diperlukan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya, semalam.

Sementara itu, prestasi kewangan kumpulan kembali positif selepas merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM19.02 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding kerugian RM4.3 juta pada suku sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat 65 peratus kepada RM417 juta berbanding setahun sebelumnya.

Ia disokong terutamanya oleh aktiviti pembangunan hartanah tempatan serta penjualan 19 plot perindustrian dalam fasa tiga Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan di Iskandar Puteri, Johor.

Aktiviti pembangunan hartanah mencatatkan jualan RM110 juta pada suku pertama 2022 dengan 64 peratus disumbangkan oleh projek di wilayah tengah, khususnya Serene Heights Bangi, KAIA Heights di Equine Park, Seri Kembangan dan Residensi Allevia di Mont’Kiara.

Pada tahun ini, UEM Sunrise menyasarkan untuk melancarkan projek hartanah bernilai RM3.3 bilion dengan sasaran jualan RM1.5 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN