PETALING JAYA: SME Bank akan terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan mereka.
Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, secara khusus, melalui SME Bank Relief Program, pelanggan Bank daripada sektor pelancongan dan pengangkutan awam telah menerima moratorium selama 24 bulan dari Oktober 2020 hingga September 2022 dengan lanjutan tempoh kumulatif / tempoh pembiayaan sehingga 60 bulan.
Beliau berkata, bantuan diberikan dalam bentuk penangguhan pembayaran prinsipal dan kadar keuntungan pembiayaan.
Katanya, usaha itu telah banyak membantu usahawan dalam menguruskan keperluan kewangan mereka untuk mengekalkan perniagaan.
“Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM38 bilion kepada lebih 21,000 PKS. Selain bantuan kewangan, sokongan juga diberikan dalam bentuk pembinaan kapasiti dan keupayaan usahawan oleh anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR). CEDAR telah melatih lebih 62,000 orang peserta melalui pelbagai program pembangunan PKS,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, mengulas keoutusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus, Aria berkata, memelihara kestabilan kewangan negara kekal menjadi keutamaan Bak Pusat itu, selepas OPR berada pada kadar trendah 1.75 peratus hampir dua tahun sejak Julai 2020.
Kata beliau, jJelas, BNM memberi tumpuan untuk memastikan dasar monetari kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Ini terutamanya melihat kepada kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan yang membolehkan ekonomi menghadapi sebarang kejutan luaran.
“Memandangkan ekonomi domestik berkembang pada landasan yang lebih kukuh, kami menjangkakan tahap akomodasi monetari akan dikurangkan secara berhati-hati dan beransur-ansur, terutamanya dalam persekitaran kestabilan harga,” tambah beliau.
Ketua Pegawai Risiko Kumpulan SME Bank, Mohammad Azam Ahmad, yang menyelia kredit, pasaran, mudah tunai dan pengurusan operasi risiko pula berkata, aktiviti ekonomi dijangka bertambah kukuh apabila kesan positif peralihan kepada fasa endemik terus dialami oleh semua sektor ekonomi, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Daripada segi penawaran, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus memacu pertumbuhan ekonomi, masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratusdan 6.6 peratus,” katanya. – UTUSAN










