Skyline labur NZ$26 juta di Gamuda Gardens

Skyline labur NZ$26 juta di Gamuda Gardens

Majlis pelancaran Skyline Luge Activity Park di Gamuda Gardens.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skyline Enterprises, pengendali riadah dan hiburan yang berpangkalan di Queenstown, New Zealand, akan membuka tarikan luge pertama di Malaysia pada suku ketiga 2023 dengan pelaburan NZ$26 juta (kira-kira RM74 juta) di perbandaran Gamuda Gardens, Rawang, dekat sini.

Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land, Chu Wai Lune berkata, Skyline Luge Activity Park di Pusat Bandar Gamuda Gardens, hab komersial dan hiburan runcit di perbandaran itu dijangka menarik kira-kira 350,000 pengunjung pada tahun pertama pembukaannya.

“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam pembuatan bandar dan kerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai pendirian sama  seperti Skyline Enterprises, kami yakin mampu mencipta pembangunan mampan yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak orang ramai.

“Ini terutama pembangunan yang dikelilingi oleh alam semula jadi dengan ruang awam yang luas untuk masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Gamuda Land menganjurkan majlis pecah tanah untuk pembangunan Skyline Luge Activity Park yang dihadiri Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Pam Dunn dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Penggalakan Pelaburan dan Pemudahcara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sivasuriyamoorthy Sundara Raja.

Sementara itu, Sivasuriyamoorthy berkata, keputusan Skyline Enterprises untuk mengembangkan perniagaannya di Malaysia adalah bukti sentimen perniagaan positif negara yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti pelabur pelancongan.

“Pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar daripada sektor perkhidmatan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ini berikutan fakta bahawa Malaysia adalah salah satu tarikan pelancong ASEAN terbesar, menarik ratusan ribu pelancong ke beberapa destinasi pelancongan yang menarik di Asia.

“Selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, MIDA menyasarkan untuk memanfaatkan daya saing industri pelancongan Malaysia untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan inovatif yang memperkasakan komuniti tempatan dan mencapai objektif pembangunan sosio-ekonomi yang lain.

“MIDA akan terus memudahkan dan menyokong pelaksanaan projek Skyline Enterprise dan pengembangan masa depannya,” ujarnya.

Taman Aktiviti Luge yang akan dibina di atas tapak seluas 30,000 meter persegi akan menjadi taman keempat Skyline Enterprises di Asia, dengan yang lain terletak di Singapura serta Busan dan Tong Yeong di Korea Selatan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skyline Enterprises, Geoff McDonald berkata, pengalaman luge di trek yang dibina khas sepanjang 600 meter dengan taman aktiviti luge landskap bertema akan direka mengikut dengan rupa bumi tempatan dan akan memberikan tunggangan menarik dari puncak bukit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN