LONDON: Pelanggan Tesla Inc. mungkin menyukai sistem kemasukan tanpa kunci pengeluar kereta itu.
Bagaimanapun, seorang penyelidik keselamatan siber menunjukkan bagaimana teknologi yang sama membolehkan pencuri menghidup dan melarikan model tertentu kenderaan elektrik berkenaan.
“Penggodaman yang berkesan pada kereta Tesla Model 3 dan Y akan membolehkan pencuri membuka kunci kenderaan, menghidupkannya dan memecut laju,” menurut Sultan Qasim Khan, perunding kanan keselamatan di firma keselamatan NCC Group, berpangkalan di United Kingdom (UK).
Katanya, dengan mengubah hala komunikasi antara telefon mudah alih pemilik kereta, atau fob kunci dan kereta, orang luar boleh ‘memperdaya’ sistem kemasukan untuk menganggap pemiliknya terletak secara fizikal berhampiran kenderaan terbabit.
Bagaimanapun katanya, ia tidak khusus untuk kenderaan Tesla sahaja, walaupun dia menunjukkan teknik itu kepada Bloomberg News membabitkan salah satu model kereta keluaran syarikat berkenaan.
Sebaliknya, kata Sultan Qasim, ia adalah hasil daripada bermain-main dengan sistem kemasukan tanpa kunci Tesla, yang bergantung pada sistem dikenali sebagai protokol Tenaga Rendah Bluetooth (BLE).
Namun, tiada bukti bahawa pencuri telah menggunakan penggodaman untuk mengakses kenderaan Tesla secara tidak wajar.
Sementara itu, pembuat kereta itu tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.
“NCC memberikan butiran penemuannya kepada pelanggan dalam nota pada Ahad lalu,” kata seorang pegawai.
Sultan Qasim berkata, dia telah mendedahkan potensi serangan kepada Tesla dan pegawai syarikat tidak menganggap isu itu sebagai risiko yang besar.
“Untuk membetulkannya, pembuat kereta itu perlu mengubah perkakasan dan menukar sistem kemasukan tanpa kuncinya,” katanya.
Pendedahan itu timbul selepas seorang lagi penyelidik keselamatan, David Colombo, mendedahkan cara ‘merampas’ beberapa fungsi pada kenderaan Tesla, seperti membuka dan menutup pintu serta mengawal bunyi muzik.
“Protokol BLE direka untuk menghubungkan peranti melalui internet, bagaimanapun ia juga muncul sebagai kaedah yang digunakan oleh penggodam untuk membuka kunci teknologi pintar termasuk kunci rumah, kereta, telefon dan komputer riba,” katanya lagi.
Menurutnya, isu sama melibatkan kunci pintar Kwikset Corp. Kevo yang menggunakan sistem tanpa kunci dengan telefon iPhone atau Android.
Kajian oleh kumpulan pengguna Britain, Which, pada 2019 mendapati, lebih 200 model kereta terdedah kepada kecurian menggunakan kaedah serupa tetapi sedikit berbeza seperti menggunakan isyarat tanpa wayar atau radio. – AGENSI










