Signature ambil alih 23.67% pegangan Fiamma - Utusan Malaysia

Signature ambil alih 23.67% pegangan Fiamma

Ketua Pegawai Eksekutif Signature, Tan Kee Chong (dua kiri) dan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Signature, Datuk Seri Chiau Beng Teik dalam majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan Fiamma.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Signature International Berhad (Signature), pengeluar kabinet dapur senaraian awam terkemuka di Malaysia mengumumkan cadangan mengambil alih 23.67 peratus pegangan dalam syarikat tersenarai di Pasaran Utama, Fiamma Holdings Berhad (Fiamma) dengan jumlah pertimbangan tunai RM180 juta.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, Signature berkata, pihaknya telah memeterai Perjanjian Penjualan Saham Bersyarat (SSA) dengan pemegang saham utama Fiamma, iaitu Lim Choo Hong untuk memperoleh 120 juta saham biasa atau 23.67 peratus kepentingan ekuiti untuk pengambilalihan berdasarkan pertimbangan pembelian RM1.50 sesaham.

Mengulas mengenai langkah korporat terkini, Pengarah Urusan Signature, Chiau Haw Choon berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan objektif kumpulan untuk memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang menguntungkan dalam rantaian bekalan industri untuk pertumbuhan masa depan. 

Jelasnya, perniagaan utama Fiamma dan anak syarikatnya iaitu peralatan elektrik rumah dan dapur, memiliki banyak jenama dalaman yang diyakini seperti Elba, Faber, Rubine, Tuscani dan Haustern. 

“Mereka mempunyai liputan meluas di seluruh negara dari segi rangkaian pengedaran dan servis peralatan elektrik rumah dan dapur yang akan menambah nilai dan sinergi kepada kumpulan Signature. 

“Fiamma juga memegang hak pengedaran untuk jenama antarabangsa peranti perubatan dan produk penjagaan kesihatan iaitu Braun, Speed Queen, Omron dan Beurer. Kami telah memerhatikan prospek yang menarik dalam syarikat ini, yang telah menyaksikan peningkatan ketara dalam permintaan untuk produknya akibat pandemik Covid-19. 

“Kesan daripada pelbagai sekatan pergerakan yang dikenakan telah membawa kepada perubahan dalam trend penggunaan perkakas rumah, apabila lebih ramai orang menghabiskan masa di rumah, seterusnya mengakibatkan peningkatan dalam permintaan untuk produk isi rumah elektrik sekali gus meningkatkan jualan dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan Fiamma,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, industri elektronik pengguna Malaysia menghasilkan produk bernilai RM38.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan daripada RM35.63 bilion pada 2020. 

“Melangkah ke 2022, industri elektronik pengguna tempatan dijangka terus pulih dan mencecah RM44.01 bilion. Oleh itu, ini bukan sahaja disebabkan peluang strategik bagi kumpulan untuk berkembang menjadi pelengkap perniagaan, tetapi penyatuan kepentingan ekuiti Fiamma dijangka meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan kewangan Signature,” ujarnya.

Dalam pernyataan berasingan, Divine Inventions Sdn. Bhd., sebuah entiti swasta yang dikawal keluarga Datuk Seri Chiau Beng Teik, memeterai Perjanjian Jualan Saham dengan Choo Hong untuk membeli 30 juta saham biasa atau 5.92 peratus kepentingan ekuiti dalam Fiamma pada RM1.50 setiap saham. 

Secara kolektif, Signature dan Divine Inventions akan memiliki sejumlah 29.59 peratus kepentingan ekuiti dalam Fiamma setelah selesai pengambilalihan.

Menurut Signature, penjualan dan pembelian saham Fiamma yang dijangka selesai dalam tempoh empat bulan dari tarikh SSA akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya