Ringgit terus didagangkan rendah berban­ding dolar Amerika Syarikat

Ringgit terendah dalam dua tahun

Nilai ringgit yang rendah bakal memberi kesan kepada sektor perdagangan Malaysia dengan negara luar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit terus didagangkan rendah berban­ding dolar Amerika Syarikat, se­­malam pada kadar 4.3835 se­belah pagi sebelum ditutup 4.3825, tinggi sedikit berban­ding 4.3845 kelmarin.

Pemeriksaan Utusan Malaysia di laman web Bank Negara Malaysia (BNM), ia meru­pakan kadar terendah ringgit berbanding dolar dalam tempoh hampir dua tahun.

Kali terakhir ringgit mence­cah paras terendah berban­ding dolar ialah pada 24 Mac 2020 apabila didagangkan pada 4.4385/4.4385.

Menurut pakar ekonomi, ke­lemahan ringgit sekarang adalah disebabkan kenaikan faedah terbesar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) kepada 0.75 peratus memberi kesan berganda kepada ekonomi global dan bukan hanya kepada ringgit Malaysia.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penyusutan itu mungkin berterusan kecuali Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kembali.

Jelasnya, mengambil kira ke­adaan semasa pandemik Co­vid-19 dan krisis Rusia-Ukraine, Fed pasti akan menaikkan peratusan faedah sehingga dua peratus lagi dalam tahun ini.

“Kenaikan faedah oleh Fed ini menarik aliran tunai ke AS termasuk daripada para pengurus dana di seluruh dunia, sete­rusnya menyebabkan aliran dana keluar dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

“Ia memberi kesan kepada pasaran modal iaitu termasuk pasaran saham, menyebabkan penjualan saham di pasaran ekuiti, selain penjualan mata wang ringgit untuk mendapat dolar AS menyebabkan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dolar AS.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan mata wang ringgit namun keadaan sama turut berlaku kepada mata wang negara lain termasuk China, Jepun dan Korea Selatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Justeru, Aimi Zulhazmi ber­kata, BNM perlu meningkatkan kadar OPR bagi membendung keadaan ini, namun ia memberi kesan kepada ekonomi domestik

“Bagaimanapun, keputusan BNM untuk menaikkan OPR dijangka berlaku pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini. Kenaikan ini akan membantu mengurangkan inflasi negara juga namun kepada sesiapa yang membuat pinjaman de­ngan kadar terapung, ia akan mengurangkan kuasa beli mereka kera­na perlu membayar lebih untuk bayaran pinjaman setiap bulan.

“Jadi, ia akan merencatkan pemulihan ekonomi domestik se­perti yang dimahukan oleh kerajaan terutamanya untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK antara lima ke enam pera­tus untuk tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, tahap kebergantungan negara terhadap barangan makanan dari luar negara terma­suk daging, beras dan gandum masih tinggi sekali gus membawa kesan besar apabila nilai ringgit menyusut.

Ujarnya, kejatuhan ringgit akan membawa impak besar ter­utama pada kenaikan harga barang makanan yang kebanyakannya diimport.

“Kejatuhan nilai ringgit kepada RM4.35 dijangkakan akan turun kepada RM4.50 menjelang akhir tahun ini. Nilai import kita akan naik mendadak seterusnya membebankan rakyat terutama golongan B40.

“Kenaikan harga barangan import seperti makanan ayam (jagung) akan meningkatkan lagi harga ayam di pasaran. Selepas musim perayaan ini harga ayam sudah naik 30 sen jadi harga ayam akan terus naik lagi selepas ini kerana makanan ayam diimport dari luar negara,” katanya.

Menurut Abdul Halim, penyusutan ringgit juga berkemungkinan meningkatkan nilai faedah dalam pasaran, sekali gus memberi tekanan kepada pemin­jam terutama golongan B40.

“Kenaikan kadar faedah AS sebanyak 200 mata mungkin memaksa BNM menaikkan kadar faedah di Malaysia untuk menstabilkan kemasukan pelabur supaya duit tidak ‘lari’ ke AS.

“Hal ini akan menaikkan semua harga barang dan menyebabkan rakyat lebih terkesan.

“Ini kerana kita semua terpaksa membayar lebih kepada pihak bank disebabkan faedah yang tinggi,” ujarnya.

Walau bagaimanapun kata beliau, para pengilang bakal mendapat durian runtuh daripada kejatuhan nilai ringgit di pasaran antarabangsa.

“Justeru, mereka akan dapat keuntungan berganda disebabkan penurunan ringgit yang dihadapi sekarang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×