PETALING JAYA: The Hershey Company (Hershey) mengumumkan pembukaan Pusat Pembangunan & Penyelidikan (R&D) baharunya terletak di Johor.
Pusat itu merupakan kemudahan R&D terbesar Hersyey di luar Amerika Syarikat.
Menurut syarikat itu, pelaburan berkenaan membentuk sebahagian penting daripada strategi syarikat untuk memacu pertumbuhan antarabangsa menerusi inovasi.
Jelasnya, , Naib Presiden Kewangan dan Perdagangan Antarabangsa Hersyey, William Pritchett dan Naib Presiden, AEMEA & India, Herjit Bhalla telah mengunjungi Malaysia baru-baru ini untuk merasmikan pembukaan pusat tersebut.
“Kemudahan baharu ini akan membolehkan Hershey membangunkan, menguji dan melancarkan dengan pantas produk-produk baharu yang disesuaikan mengikut cita rasa pengguna di seluruh rantau, dan akan menjadi kemudahan R&D terbesar Hershey di luar AS,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, kemudahan seluas 10,400 kaki persegi itu merupakan pelaburan besar dalam pasaran Malaysia dan akan menempatkan makmal R&D, kemudahan pembangunan pembungkusan dan ruang deria, yang membolehkan syarikat bekerjasama dengan pelbagai pasukan inovatif untuk menjalankan ujian rasa dan memilih produk ikonik yang diketahui dan digemari oleh pengguna di seluruh dunia.
Harjit berkata, kemudahan itu akan menjadi tumpuan bagi operasi syarikat di rantau AEMEA bagi negara-negara di Asia Pasifik, termasuk India dan China, Eropah dan Asia Barat dan Afrika.
“Pusat R&D baharu kami mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memahami pilihan pengguna di seluruh pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan R&D, Antarabangsa Hershey, Philippe Zehnder berkata, pelaburan itu hakikatnya memperlihatkan usaha Hershey untuk terus menambah baik sains konfeksi menerusi inovasi dalaman dan luaran.
“Kemudahan baharu ini akan membolehkan pasukan kami yang berbakat untuk mendalami kehendak dan cita rasa pengguna untuk membolehkan mereka merangka konsep, menguji dan membangunkan produk-produk paling inovatif di rantau ini,” jelas beliau.
Hershey beribu pejabat di Pensylvania, AS, mempunyai kira-kira 19,000 kakitangan di seluruh dunia. Syarikat mempunyai lebih daripada 100 jenama di kira-kira 80 negara yang menjana hasil berjumlah lebih daripada AS$8.9 bilion (RM39.12 bilion).
Jenama-jenama ikonik Hershey seperti Hershey’s, Reese’s, Kit Kat®, Jolly Rancher dan Ice Breakers, dan snek masin yang semakin mendapat sambutan termasuk termasuk SkinnyPop, Pirate’s Booty dan Dot’s Pretzels. – UTUSAN










