PETALING JAYA: Program perniagaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Ekspo 2020 Dubai telah menjana RM16.33 bilion (AS$3.71 bilion) dalam potensi petunjuk perdagangan dan pelaburan.
Menurut KASA, pihaknya bersama agensi di bawahnya iaitu Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), telah menganjurkan lima program perdagangan dan perniagaan semasa Ekspo tersebut bagi mempromosikan penyelesaian mampan berkaitan sektor alam sekitar dan air.
Program-program tersebut telah disertai oleh 72 syarikat yang diberi peluang untuk menjalin kerjasama dengan rakan kongsi global, termasuk dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Petunjuk perdagangan dan pelaburan telah dijana melalui pemeteraian 19 dokumen perkongsian dengan pihak dari pelbagai negara serta termasuk 246 pertanyaan perniagaan yang diterima semasa sesi pemadanan perniagaan.
“Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat yang ditandatangani sahaja bernilai RM12.31 bilion (AS$2.8 bil),” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selaras dengan tema program KASA iaitu ‘Pertumbuhan Hijau: Bersedia Untuk Peluang Global’, kementerian ingin membuka peluang kepada industri tempatan untuk mengakses pasaran global dan menjalin perkongsian dan pelaburan antarabangsa.
Jelasnya, ia akan membantu pemulihan ekonomi mereka yang terjejas akibat Covid-19 serta mengembangkan ekonomi hijau.
“Terdapat juga kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan negara luar dan juga bersama syarikat antarabangsa,” katanya.
Antara MoU yang ditandatangani adalah kerjasama dengan Belanda dalam tebatan banjir dan Australia berkaitan subjek pemodelan tadbir urus antara negeri, bagi tanggungjawab pencemaran di sungai dan badan air.
Kerjasama dengan UAE pula melibatkan teknologi perkhidmatan pembetungan dari Malaysia, oleh syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK), perkhidmatan yang ditawarkan ialah pemasangan paip pembetungan untuk merasionalisasi tangki septik ke loji rawatan kumbahan berpusat.
Usaha ini akan membantu mengelakkan berlaku pencemaran air bawah tanah, meningkatkan tahap kebersihan serta penggunaan teknologi rawatan kumbahan yang moden dan efisien. Malaysia merupakan satu daripada penyedia perkhidmatan pembetungan terbaik di dunia.
Syarikat Malaysia yang memerterai kerjasama perniagaan di ekspo semasa minggu KASA termasuk Intelligent Aqua Sdn Bhd, Potaglas Malaysia Sdn. Bhd., Pipeco Tanks Sdn. Bhd. dan PTS Tech Solution Sdn. Bhd. yang melibatkan program kerjasama antarabangsa, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk, serta MoU.
Aktiviti Malaysia di Ekspo 2020 Dubai termasuk 26 program perdagangan dan perniagaan bertema mingguan yang diterajui dan disokong oleh lima kerajaan negeri, 21 kementerian dan 70 jabatan dan agensi. Program tersebut mengetengahkan lebih 10 industri penting serta penyertaan 400 syarikat.
KASA telah menganjurkan Green Technology Innovation Week, Climate Resilience & Sustainable Infrastructure Week, Low Carbon Cities Week, Water Week dan Circular Economy Week di Pavilion Malaysia. – UTUSAN










