PETALING JAYA: Industri perkayuan negara perlu memanfaatkan dengan lebih proaktif lonjakan permintaan produk kayu dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, berita bahawa permintaan produk kayu melebihi bekalan di AS dan UK patut disambut baik oleh pengeluar produk kayu negara.
Ini kerana katanya, sekatan ke atas produk kayu Russia akan memaksa pengimport AS mencari sumber alternatif terutama untuk papan lapis.
Selain itu katanya, pertikaian perdagangan berterusan antara AS dan China telah meletakkan Malaysia dan Indonesia sebagai satu-satunya pilihan sumber kayu untuk ekonomi terbesar dunia itu.
“Namun masa sekarang, kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS. Tidak ramai yang tahu sebenarnya pasaran untuk kayu Malaysia di AS, khususnya bagi kayu Meranti dan Keruing adalah agak tinggi.
“Permintaan untuk kayu Meranti telah meningkat sebanyak 9 peratus berbanding tahun lalu, manakala permintaan untuk kayu Keruing telah meningkat sebanyak 467 peratus. Eksport produk kayu dari Malaysia kini agak perlahan kerana kekurangan balak daripada hutan semula jadi dan ini menyebabkan kilang papan sukar memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zuraida, cabaran lain yang dihadapi oleh pengeksport kayu-kayan ialah kesesakan di pelabuhan disebabkan kekurangan kontena, ruang dalam kap dan kekangan logistik yang lain. Namun, penganghantaran telah dikenal pasti sebagai satu daripada solusi untuk jangka masa sederhana.
Dalam hal ini, katanya, Persatuan Produk Kayu Antarabangsa (IWPA) yang berpangkalan di AS telah menyatakan hasratnya untuk berbincang dengan ketua-ketua industri kayu-kayan Malaysia tentang cara bagi menangani isu yang dihadapi oleh sektor ini.
Ini akan melibatkan langkah-langkah untuk melindungi Malaysia daripada menjadi sasaran persatuan kayu-kayan domestik dan pihak berkuasa AS atas isu pengelakan perdagangan, satu rangka kerjasama juga sedang dibangunkan antara pegawai AS dan pihak berkuasa Malaysia seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Jabatan Kastam.
“Malaysia juga sedia bekerjasama rapat dengan UK, sama seperti dengan AS, untuk mengatasi kekurangan produk kayu di negara itu. Pada masa yang sama, negara kita juga boleh mencari dan menambah nilai kepada produk kayu dari negara ketiga, terutamanya untuk produk yang disahkan di bawah PEFC (Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada peraturan kastam UK yang dikemas kini, Malaysia berharap kerajaan UK akan dapat juga memperkemaskan lagi prosedur dan pengendalian dokumen untuk masalah logistik semasa.
Katanya, sebagai pembekal matang produk kayu, industri perkayuan Malaysia menunjukkan prestasi yang baik walaupun menghadapi kesan ekonomi yang buruk akibat pandemik Covid-19.
“Sektor ini mencatatkan pertumbuhan nilai eksport sebanyak 3.1 peratus kepada RM22.7 bilion pada 2021 berbanding RM22.02 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN










