PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meraikan ketibaan kumpulan sulung penumpang dari Doha, Qatar tiba di negara ini menerusi penerbangan terus awal pagi tadi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau secara peribadi amat menyambut baik kedatangan mereka melalui pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB).
“Perkhidmatan laluan baharu ini akan terus memacu pelancongan Malaysia dan melonjakkan trafik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya menerusi kenyataan.
MAB semalam mula melancarkan penerbangan terus setiap hari antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad melalui MH 160 ke Doha yang bertolak pukul 9.20 malam. Ia diikuti dengan penerbangan balik secara harian MH 161 dari Doha ke KLIA pukul 1.30 pagi waktu tempatan, menggunakan pesawat Airbus, A330-300.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, perkhidmatan terkini itu akan menawarkan para penumpang dengan penyambungan laluan secara optimum ke pelbagai destinasi lain di seluruh dunia.
“Mereka boleh meneruskan perjalanan berikutnya ke Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan rantau Asia Barat melalui perkongsian kod penerbangan dengan Qatar Airways,” jelasnya.
Tambahan pula, Qatar menjadi tumpuan para peminat bola sepak kerana bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 yang dijadualkan pada akhir tahun ini melibatkan 32 pasukan.
Malaysia yang sudah pun membuka kembali sempadan antarabangsa untuk kemasukan pelancong asing sejak 1 April lalu ujarnya, amat mengalu-alukan kehadiran ramai pelawat luar dan berharap, kedatangan mereka akan kembali menjana sektor pelancongan tempatan dan ekonomi negara.
Bahkan pihak kementerian optimis dapat menarik dua juta pelancong asing sepanjang tahun ini dengan nilai perbelanjaan lebih RM8.6 bilion.
Beliau merujuk statistik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kelmarin yang melaporkan aliran trafik antarabangsa di kesemua lapangan terbang tempatan telah meningkat 53 peratus.
“Sejak awal bulan lepas, MAHB merekodkan pergerakan purata sehari 23,000 penumpang asing dengan 30,000 orang dicatatkan pada kemuncak musim cuti Hari Raya Puasa,” katanya.
Secara keseluruhan, Nancy berpuas hati kerana sejumlah 642,128 penumpang antarabangsa direkodkan setakat ini dengan tambahan signifikan lebih 200 peratus di tiga lapangan terbang iaitu di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Langkawi, Kedah. – UTUSAN










