PDB, Petros lengkapkan pindahan perniagaan pemasaran LPG di Sarawak - Utusan Malaysia

PDB, Petros lengkapkan pindahan perniagaan pemasaran LPG di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PetrosNiaga Sdn. Bhd. (PNiaga) secara rasmi mempunyai pegangan penuh ke atas urusan pemasaran kesemua silinder gas (hijau) Petronas dan (merah) Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Syarikat minyak dan gas Sarawak itu turut mengambil alih semua pembekal semasa gas petroleum cecair (LPG) daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Pengoperasian sepenuhnya itu berkuatkuasa selepas Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan Petros mengumumkan telah melengkapkan Pindahan Perniagaan dan Perjanjian Langganan Saham (BTSSA) di antara kedua-dua organisasi itu, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Janin Girie berkata, pihaknya sentiasa komited  untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan LPG di Sarawak.

“Ini termasuk menjadikan bahan api harian yang penting untuk rakyat Sarawak tersedia dengan lebih saksama terutamanya bagi mereka di kawasan luar bandar.

“Pengoperasian kerjasama yang strategik ini memenuhi aspirasi kerajaan Sarawak untuk meluaskan perniagaan LPG kendalian Petros di seluruh negeri dan merealisasikan hasrat Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani memaklumkan, PDB komited untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di Sarawak.

“Perkongsian itu adalah langkah strategik untuk menggabungkan kekuatan, pengalaman dan kecekapan kedua-dua syarikat minyak dan gas untuk menyampaikan perkhidmatan dan nilai yang unggul untuk pelanggannya, sambil meningkatkan pasaran LPG di negeri ini,” ujarnya.

BTSSA yang dimuktamadkan dengan Petros itu melibatkan pelupusan Perniagaan LPG di Sarawak PDB kepada PNiaga dan langganan 49 peratus dengan ekuiti dalam PNiaga.

Berikutan itu, PNiaga menampilkan Lembaga Pengarah bersama yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Kanan Strategi Korporat Petros, Abang Arabi Abang Narudin dan wakil pemegang saham dari Petros dan PDB.

Ketua Pegawai Kewangan Petros, Bong Siet Fah yang merupakan pengarah sedia ada, disertai pelantikan baharu Pramela Vallinayagan sebagai Ketua Perniagaan LPG, PBD dan Farzlina Ahmad Murad sebagai Ketua Pegawai Kewangan PDB, manakala Lai Ah Kiaw dilantik sebagai Pegawai Eksekutif PNiaga Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN