PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merekodkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (PBZT) Kumpulan berjumlah RM159.3 juta, naik 108.5 peratus bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q12022), daripada RM76.4 juta suku keempat 2021 (Q42021).
Menurut BIMB, pertumbuhan ketara tersebut disumbangkan terutamanya oleh peruntukan bersih lebih rendah dikenakan untuk rosot nilai pembiayaan dan aset kewangan lain serta perbelanjaan overhed lebih rendah yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana lebih rendah.
“BIMB juga menyaksikan pemulihan dalam prestasi operasi seiring dengan pengukuhan momentum ekonomi. Ia dipacu oleh pematuhan usaha-usaha pengawalan kos dan peruntukan lebih rendah pada Q12022 berbanding Q42021,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, Kumpulan komited merealisasikan aspirasi dan strategi LEAP25 dengan bersandarkan kepada jangkaan pemulihan ekonomi negara.
Kata beliau, pada masa ini Kumpulan berada di fasa pertumbuhan baharu yang berasaskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk memacu penyampaian perkhidmatan dan prestasi perniagaan.
“Kami telah memulakan langkah membangunkan Rangka Kerja ESG BIMB dengan menerapkan pengurusan risiko iklim dan pengurusan risiko mampan dalam aspek penilaian kredit. Aspirasi LEAP25 BIMB adalah untuk menjadi peneraju penyelesaian
pembiayaan ESG lengkap menjelang tahun 2025,” katanya.
Menurut BIMB, peruntukan bersih untuk pembiayaan dan aset kewangan lain yang terjejas untuk Q12022 adalah lebih rendah daripada Q42021, iaitu sebanyak RM66.5 juta kepada RM45.4 juta.
Jumlah perbelanjaan overhed bagi Q12022 susut sebanyak RM58.5 juta atau 16.6 peratus kepada RM293.7 juta berbanding RM352.2 juta yang dicatatkan pada Q42021.
“Dalam tempoh yang dikaji, pendapatan bukan berasaskan dana BIMB turun sebanyak 48.8 peratus kepada RM45.3 juta, daripada RM88.5 juta, disebabkan oleh kerugian bersih penilaian semula sekuriti pelaburan ekoran keadaan pasaran yang kurang
memberangsangkan.
“Walaupun terdapat penurunan, secara postifnya jumlah aset Kumpulan berkembang sebanyak 11.2 peratus tahun-ke-tahun (y-o-y) pada kedudukan RM80.5 bilion setakat 31 Mac 2022, manakala aset bersih sesaham adalah RM3.09,” katanya.
Susulan pembukaan aktiviti ekonomi domestik secara berperingkat berikutan kadar vaksinasi Covid-19 lebih tinggi serta sentimen pasaran lebih positif, Kumpulan juga menyaksikan peningkatan sebanyak 6.7 peratus dalam pembiayaan kasar kepada RM59.8 bilion.
Sebagai perbandingan, akaun deposit dan pelaburan pelanggan menunjukkan pengukuhan y-o-y sebanyak 10.8 peratus atau RM6.6 bilion pada RM68.0 bilion menjelang akhir Mac 2022.
Setakat 31 Mac 2022, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.02 peratus. Angka tersebut kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.54 peratus. Prestasi Q12022 yang lebih baik diterjemah kepada perolehan sesaham (EPS) Kumpulan
sebanyak 4.95 sen dan Pulangan Ekuiti (ROE) bersih tahunan 6.4 peratus.
Jumlah Nisbah Modal Kumpulan kekal teguh pada 19.5 peratus dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyediakan penimbal yang mencukupi bagi kemungkinan kerugian serta memacu pertumbuhan perniagaan.
Dalam pada itu, Kumpulan menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dinaikkan 25 mata asas lagi dan sebarang peningkatan dalam OPR akan memberikan kesan positif terhadap keuntungan Kumpulan.
Mohd. Muazzam berkata, sungguhpun pembukaan semula ekonomi serantau membawa kepada pertumbuhan pembiayaan dan mengurangkan caj-caj yang terjejas, namun pasaran lemah yang dilihat sebelum ini telah mengurangkan impak-
impak positif ini.
“Walau bagaimanapun, Kumpulan kekal waspada dengan ketidaktentuan ekonomi sekitar termasuk gangguan pertumbuhan dagangan, kenaikan melambung harga komoditi serta perkembangan situasi geopolitik,” kata beliau. – UTUSAN










