PETALING JAYA: Paramount Corporation Berhad (Paramount) merekodkan perolehan berjumlah RM168.1 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM14.6 juta pada suku pertama tahun ini (S1TK2022).
Pencapaian itu merupakan peningkatan masing-masing sebanyak 11 dan 35 peratus berbanding perolehan sebanyak RM151.8 juta dan PBT sebanyak RM10.8 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti biasa ialah 119 peratus lebih tinggi pada RM5 juta berbanding RM2.3 juta suku pertama 2021,” lapor syarikat itu dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount, Jeffrey Chew berkata, Kumpulan telah merekodkan peningkatan keseluruhan dalam hasil dan pendapatan apabila negara bergerak ke arah endemik.
“Prestasi kewangan yang bertambah baik pada suku pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas disebabkan terutamanya oleh peningkatan sumbangan keuntungan daripada bahagian hartanah dengan gangguan operasi yang lebih sedikit pada suku dilaporkan berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” jelas beliau.
Pada suku pertama 2022, bahagian hartanah Kumpulan merekodkan perolehan berjumlah RM163.9 juta, peningkatan 10 peratus tempoh sama tahun lalu, sebanyak RM149.6 juta, disokong oleh pembangunan projek yang berterusan.
Jelasnya, tiga projek yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Kumpulan ialah ATWATER di sini, Sejati Lakeside di Cyberjaya dan Bukit Banyan di Sungai Petani.
Bahagian kerjasama pula katanya, merekodkan pendapatan sebanyak RM2.2 juta, 57 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama setahun lalu dengan jumlah Rm1.4 juta, terutama disumbangkan oleh rangkaian Tropicana Gardens termasuk Scalable Malaysia.
Mengulas prospek Kumpulan, Chew berkata, pembukaan semula ekonomi baik untuk pasaran hartanah tahun ini dan berharap Kumpulan akan meraih momentum jualan yang kukuh selepas terjejas oleh pandemik.
Malah katanya, prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5 peratus pada suku pertama tahun ini, ditambah dengan peningkatan normalisasi dalam aktiviti ekonomi, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa
dan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, merupakan petunjuk positif.
“Walaupun kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini, persekitaran faedah rendah semasa kekal kondusif untuk permintaan hartanah. Rakyat Malaysia yang mempunyai kemampuan kewangan masih akan melihat
harta sebagai lindung nilai terhadap inflasi.
“Dengan kenaikan harga hartanah terutamanya di kawasan bandar di mana tanah semakin berkurangan ditambah dengan peningkatan kos bahan, terdapat peluang untuk keuntungan dalam tempoh jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










