PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia dijangka menaikkan kadar dasar semalam (OPR) dengan kadar yang perlahan bagi mengawal inflasi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekiranya OPR dinaikkan pelanggan bank yang mempunyai kemudahan pembiayaan sedia ada dan mengguna pakai kadar pembiayaan yang berubah bakal menyaksikan kenaikan dalam pembayaran bulanan mereka.
“Namun, kenaikan adalah sedikit dan pihak BNM juga dijangka menaikkan OPR pada kadar yang perlahan.
“Isu itu perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Bagi pendeposit pula, mereka bakal menikmati kadar pulangan yang lebih tinggi terhadap simpanan mereka, sekali gus meningkatkan hasil tabung mereka.
“Bagi yang mahu menyimpan dalam simpanan tetap, mereka akan menikmati kadar pulangan yang lebih kompetitif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjangkakan OPR dinaikkan sebanyak 25 mata asas pada tahun ini.
“Tetapi ada juga penganalisis ekonomi lain yang menjangka ia bakal dinaikkan sebanyak 50 mata asas pada tahun ini.
“Itu bermakna OPR mungkin akan dinaikkan sebanyak sekali atau dua kali pada tahun ini. Justeru, perubahan OPR bukanlah sesuatu yang kerap berlaku,” katanya.
Rata-rata penganalisis menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR 1.75 peratus dalam usaha membantu proses pemulihan ekonomi negara.
BNM sebelum ini telah beberapa kali menurunkan kadar OPR bagi membantu negara mendepani krisis ekonomi berikutan penularan pandemik Covid-19.
Bank Pusat itu menurunkan kadar OPR sebanyak empat kali dan secara perlahan-lahan bermula 22 Jun 2020 sebanyak 25 mata daripada 3.0 peratus kepada 2.75 peratus dan terakhir 1.75 peratus pada 7 Julai 2020.
Kadar 1.75 peratus dikekalkan sehingga sekarang. Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM bakal mengumumkan kadar terbaharu OPR esok (hari ini). – UTUSAN









