fbpx

MPOB tumpu lima bidang penyelidikan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2022 menyaksikan lima bidang penyelidikan dan pembangunan utama dibincangkan untuk menangani keperluan semasa industri sawit termasuk isu dan cabaran.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tuan Jugah Anak Muyang @ Tambat berkata, lima bidang tumpuan, khususnya Prestasi Hasil, Pembangunan Mampan, Mekanisasi dan Automasi, Keselamatan Makanan dan Pemakanan, dan Nilai Tambah adalah selaras dengan lima teras Dasar Agrikomoditi Negara 2021- 2030 (DAKN 2030).

Ujarnya, lima teras itu adalah kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman, bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor minyak sawit.

“Mesyuarat PAC adalah satu platform di mana idea, inovasi dan penyelesaian dipupuk untuk meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB dan memenuhi keperluan industri sawit.

“PAC, yang terdiri daripada saintis dan pakar terkemuka dalam industri sawit dari dalam dan luar Malaysia mengutamakan dan menambah baik pencapaian penyelidikan kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, mesyuarat PAC 2022 telah membincangkan berkaitan bahan tanaman berkualiti dengan pengurusan ladang yang baik sebagai langkah untuk memastikan hasil yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Ujarnya, industri memerlukan pokok kelapa sawit kerdil dan bahan tanaman tahan Ganoderma untuk menangani purata hasil negara yang masih tidak berubah.

“Teknologi bioteknologi, pembiakan dan pengklonan termaju akan membolehkan pembangunan bahan tanaman unggul untuk meningkatkan ketahanan penyakit, ciri kualiti minyak yang lebih tinggi, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan yang paling penting, meningkatkan hasil.

“Terdapat keperluan untuk menerima pakai amalan agronomik terbaik untuk meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti,” katanya pada PAC 2022 selama tiga hari yang berlangsung di MPOB yang berakhir semalam.

Mengenai mekanisasi dan automasi, beliau berkata MPOB akan meneruskan R&D dalam projek berkaitan penambahbaikan alat penuaian seperti Cantas kerana ia merupakan operasi lapangan paling kritikal untuk dimekanisasikan.

Katanya, Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) akan menumpukan usaha mencari teknologi penting bagi mekanisasi sawit sama ada daripada firma tempatan atau antarabangsa.

Menurut beliau, MARCOP, yang dilancarkan pada November tahun lalu memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam rangka kerja IR 4.0 yang menggunakan teknologi seperti dron, robot dan penderia untuk operasi bersepadu dan sistematik.

Jelasnya, MARCOP meneroka, mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti industri perladangan sawit Malaysia dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh.

Ahmad Parveez juga berkata ahli PAC, dengan kepakaran dan pengetahuan luas mengenai minyak dan lelemak melihat secara terperinci projek penyelidikan strategik dan isu pembangunan mampan dan mencadangkan penyelesaian praktikal kepada isu tersebut.

“Pelbagai isu telah dibangkitkan mengenai kemampanan dan perubahan iklim seperti pelepasan gas rumah hijau di ladang sawit, biodiversiti dan usaha pemuliharaan, penebangan hutan serta pencemaran air, udara dan tanah.

“Kami memerlukan pendekatan yang seimbang untuk memenuhi keperluan kemampanan bagi industri sawit. Keseimbangan antara planet, keuntungan dan manusia akan menghasilkan industri sawit yang seimbang,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI