MPDT Capital cadang bangunkan fasiliti penyahgaraman - Utusan Malaysia

MPDT Capital cadang bangunkan fasiliti penyahgaraman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Syarikat MPDT Capital Bhd. akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan fasiliti desalinasi (penyahgaraman) bernilai RM1 bilion untuk memanfaatkan jumlah air mentah bagi kegunaan pemain industri di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPDT Capital Bhd., Datuk Dr. Nik Zambri Abdul Majid berkata, sekiranya projek berkenaan diluluskan dan menjadi kenyataan, sebanyak 250 juta padu liter air laut yang dinyahgaram dapat dibekalkan setiap hari kepada pihak industri.

”Fasaliti nyahgaram yang dicadangkan di Pulau Pinang mempunyai dua fasa, iaitu melibatkan fasiliti nyahgaram bagi kegunaan para penyewa secara percuma di Tanjung City Marina di sini.

”Satu projek lagi yang masih dalam peringkat cadangan kepada kerajaan negeri bernilai RM1 bilion untuk kegunaan industri dicadangkan di bangunkan di sekitar kawasan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam di sini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis peletakkan batu fasiliti nyahgaram di Tanjung City Marina, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman.

Menurut Nik Zambri, penyahgaraman merupakan salah satu teknologi yang penting untuk dipertimbangkan bagi dibangunkan sebagai persediaan jangka panjang menjamin bekalan air di Pulau Pinang dan negara.

”Setakat ini Pulau Pinang tidak mempunyai rekod masalah bekalan air  dan teknologi nyahgaram air laut dapat membantu mengekalkan rekod Pulau Pinang menjadi negeri terbaik dalam membekalkan air kepada pengguna,” jelasnya.

Dalam pada itu Nik Zambri berkata, pembangunan semula Tanjung City Marina yang bernilai RM120 juta dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.

”Selepas projek ini siap sepenuhnya, ia bakal menjadi pusat tumpuan pelancong terutama yang mahu mencari makanan-makanan enak serta lokasi untuk bersiar-siar selain dari Persiaran Gurney.

”Kita jangka terdapat 17 restoran di sini yang bakal menawarkan pelbagai jenis makanan tempatan, luar negeri dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mansor berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat dapat menguna pakai sistem penyahgaraman dalam usaha meningkatkan bekalan air untuk pengguna dan juga pemain industri. 

“Projek di Tanjung City Marina ini merupakan projek perintis dan saya harap lebih banyak syarikat lagi dapat menjalankannya di tempat-tempat kerana kami percaya ia dapat membantu mengatasi masalah bekalan air,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya