PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM58.21 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (S1TK22), menurun 8.2 peratus atau RM5.21 juta lebih rendah berbanding RM63.41 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Menurut syarikat itu, keuntungan yang lebih rendah adalah disebabkan oleh pendapatan yang tidak dapat dibiayai dan perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi dalam perbelanjaan berkaitan teknologi dan kakitangan.
Caj rosot nilai kumpulan merosot sebanyak RM16.70 juta atau 9.5 peratus pada asas tahun ke tahun manakala kerugian pengubahsuaian minimum sebanyak RM8.96 juta telah ditanggung pada suku pertama tahun kewangan ini di bawah program Urus.
Kumpulan turut merekodkan nisbah rosot nilai kasar yang lebih tinggi sebanyak 5.89 peratus berbanding 4.60 peratus pada suku sebelumnya disebabkan oleh tamat tempoh bantuan pembayaran balik dan rosot nilai beberapa syarikat kemudahan pembiayaan.
Syarikat terbabit menjangkakan pembiayaan rosot nilai kasar kembali normal pada suku berikutnya dengan usaha sedang dijalankan untuk menyusun semula dan mendapatkan semula pembiayaan.
Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih rendah untuk suku pertama tahun ini, sebanyak 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM664.5 juta, disumbangkan oleh pendapatan bukan dibiayai yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh kerugian yang ditanggung dalam penjualan pelaburan perbendaharaan.
Pendapatan bersih dibiayai juga menurun sedikit walaupun pertumbuhan pembiayaan sebanyak 0.7 peratus atau RM0.3 bilion, terutamanya disebabkan kos pembiayaan yang lebih tinggi yang ditanggung pada suku tersebut.
Selain itu, perbelanjaan operasi (Opex) kumpulan meningkat 46.9 peratus tahun ke tahun kepada RM150.0 juta disebabkan peningkatan perbelanjaan berkaitan teknologi dan kakitangan.
Peningkatan itu telah membawa kepada nisbah kos kepada pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 37.83 peratus.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pembukaan semula sektor ekonomi merupakan petanda baik untuk negara dan pihaknya mengharapkan keyakinan yang lebih baik daripada pengguna dan perniagaan yang akan menyumbang terhadap keseluruhan aktiviti ekonomi Malaysia.
“Kami mengesahkan semula strategi kami untuk mengembangkan perniagaan kami dalam memenuhi rancangan perniagaan semasa kami dan menyediakan pembiayaan Islam yang mampan kepada pelanggan.
“Walaupun pembiayaan kasar hanya meningkat sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama, MBSB bersedia untuk melihat pertumbuhan yang lebih tinggi pada suku akan datang kerana beberapa kemudahan pembiayaan ini berada pada pelbagai peringkat pengeluaran,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










