PETALING JAYA: Maybank merekodkan keuntungan bersih lebih rendah pada suku pertama tahun kewangan 2022 (ST1K22) berakhir 31 Mac lalu, berjumlah RM2.04 bilion daripada RM2.39 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia berikutan keruncingan geopolitik dan turun naik pasaran yang memberi kesan kepada persekitaran operasi bank keempat terbesar di Asia Tenggara itu, berdasarkan aset.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) Maybank juga lebih rendah pada RM2.97 bilion daripada RM3.17 bilion tempoh sama tahun lalu.
“Walaupun pembukaan semula ekonomi serantau membawa kepada peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman dan mengurangkan caj rosot nilai, kelemahan pasaran mengurangkan kesan positif ini,” kata Maybank dalam kenyataan.
Jelasnya, pendapatan berasaskan dana bersih untuk suku pertama meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada RM4.89 bilion apabila margin faedah bersih (NIM) berkembang 3 mata asas tahun ke tahun (T-ke-T) di atas perbelanjaan faedah yang lebih rendah, dan pinjaman meningkat 5.2 peratus.
“Walau bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh penurunan 28.3 peratus dalam jumlah pendapatan berasaskan fi bersih kepada RM1.56 bilion merentas kebanyakan segmen perniagaan disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran.
“Akibatnya, pendapatan operasi bersih 5.4 peratus lebih rendah pada RM6.45 bilion berbanding RM6.83 bilion sebelumnya,” katanya.
Menurut Maybank, di sebalik aktiviti ekonomi yang bertambah baik di peringkat serantau, overhed meningkat 4 peratus T-ke-T atas perbelanjaan berkaitan hasil yang lebih tinggi. Nisbah kos kepada pendapatan (CIR) Kumpulan berada pada 45.5 peratus, dalam panduan TK2022 sebanyak 45 hingga 46 peratus.
Sementara itu, katanya, kerugian rosot nilai Kumpulan terus menurun sebanyak 31.3 peratus kepada RM597.1 juta daripada RM868.5 juta tahun lalu.
Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, permulaan 2022 kelihatan cerah dengan penyambungan semula aktiviti ekonomi secara aktif dan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur.
Kata beliau, walau bagaimanapun, peningkatan keruncingan geopolitik dan kemeruapan pasaran yang terhasil serta tekanan inflasi telah melemahkan sentimen ini.
“Walaupun kami berhati-hati dalam tinjauan hadapan sepanjang tahun ini memandangkan ketidaktentuan yang ketara, kami akan kekal berpandukan strategi berpandangan ke hadapan yang ditetapkan dalam Pelan M25. Kami berhasrat untuk memacu pertumbuhan perniagaan baharu secara aktif dalam tempoh pemulihan ini, sementara pada masa yang sama terus menyokong pelanggan untuk memastikan mereka dapat kekal mampan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengalu-alukan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, Datuk Khaisussaleh Ramli yang memulakan perkhidmatan 1 Mei lalu.
“Dengan pengalaman dan wawasannya selama 30 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, kami berharap bekerjasama dengan Khairussaleh di waktu beliau menerajui Maybank berteraskan bidang fokus M25 iaitu pendigitalan, pemacu nilai baharu dan kemampanan,” katanya.
Sementara itu, Khairussaleh berkata, arah aliran positif dalam prestasi kewangan S1TK22 Kumpulan adalah jelas di seluruh pasaran utama walaupun terdapat kesan berlarutan faktor global terhadap persekitaran operasi.
“Walaupun tinjauan hadapan bagi saki-baki tahun ini kekal bercampur-baur pada peringkat ini, kami akan menumpukan untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan merentas segmen pelanggan dalam pasaran utama sambil mengekalkan kekuatan modal dan kecairan untuk memudahkan peluang pertumbuhan.
“Pada masa yang sama, kami akan memastikan keupayaan pengurusan risiko kekal teguh, dan usaha pengurusan kos dan produktiviti diteruskan. Selain itu, kami menyasarkan untuk mempercepatkan pelancaran penyelesaian pada platform digital untuk terus memenuhi perjalanan pelanggan sambil meningkatkan penembusan pasaran di serantau,” katanya. – UTUSAN










