Matrix Concepts catat jualan hartanah RM1.3 bilion

Matrix Concepts catat jualan hartanah RM1.3 bilion

Matrix Concepts
MOHAMAD HASLAH MOHAMAD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad merekodkan jualan hartanah tertinggi baharu sebanyak RM1.3 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, mengatasi pencapaian tahun sebelumnya sebanyak RM1.2 bilion.

Pertumbuhan jualan sebanyak 11.3 peratus itu didorong oleh permintaan yang kukuh untuk rumah kediaman premium mampu milik  di Sendayan, Negeri Sembilan. 

Daripada jualan baharu 2022 itu, lebih 60 peratus rumah berharga di bawah RM500,000, memandangkan kumpulan menyesuaikan pelancaran pembangunannya mengikut kehendak pembeli rumah terkini.

Pelancaran pembangunan kumpulan pada Januari lalu, seperti Bayu Sutera 1 dan Tiara Sendayan 11 dalam Sendayan Developments, secara kolektif yang terdiri daripada lebih 500 kediaman bertanah, mencatatkan kadar pengambilan cemerlang sebanyak 95 peratus dan 100 peratus masing-masing beberapa minggu selepas dilancarkan.

Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, kumpulan telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi cabaran sepanjang pandemik Covid-19 dan berada dalam keadaan baik untuk mencatatkan prestasi positif dalam masa terdekat.

Prospek

“Selain prospek operasi tempatan yang sihat, prospek kumpulan dilengkapkan dengan projek antarabangsa sementara kami bergerak ke arah penyiapan Menara Syariah di Indonesia dan M.Greenvale di Melbourne pada 2023, serta pelancaran projek ketiha kami di Australia iaitu M333 St. Kilda.

“Prospek kumpulan untuk tahun kewangan 2023 kekal optimis dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa dijangka memudahkan bekalan pembinaan buruh dan membolehkan kita mempercepatkan kemajuan projek.

“Kedudukan kewangan yang kukuh membolehkan kami melaksanakan rancangan pertumbuhan dan mengekalkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai (PAT) kepada pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pendapatan Matrix Concepts suku keempat tahun kewangan 2022 berjumlah RM250.8 juta berbanding RM388.2 juta pada tahun sebelumnya. Kumpulan turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM60.7 juta berbanding RM73.4 juta sebelum ini.

Syarikat itu memberitahu, prestasi suku keempat tahun kewangan 2022 itu didorong oleh gangguan kemajuan penghantaran pembinaan kerana sekatan perjalanan yang mengakibatkan bekalan buruh terhad.

Pada suku tersebut, pendapatan daripada projek kediaman merosot 49.1 peratus kepada RM173.1 juta, manakala hasil sumbangan daripada projek komersial merosot 54.1 peratus kepada RM3.5 juta.

Bagaimanapun, pendapatan pengiktirafan daripada jualan hartanah perindustrian meningkat 96.8 peratus kepada RM65.6 juta, manakala hasil daripada hartanah pelaburan meningkat 35.7 peratus kepada RM8.7 juta.

Margin kasar

Walaupun pendapatan suku keempat tahun kewangan 2022 lebih rendah, kumpulan mencatatkan margin kasar yang lebih baik sebanyak 66.0 peratus berbanding 53.0 peratus pada suku sama tahun sebelumnya.

Syarikat juga mencatatkan margin PAT yang lebih baik sebanyak 24.2 peratus berbanding 18.9 peratus sebelum ini disebabkan oleh campuran produk yang menggalakkan daripada kediaman dan projek perindustrian.

Untuk tahun kewangan 2022, pendapatan kumpulan berjumlah RM886.8 juta berbanding RM1 bilion pada tahun sebelumnya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 2021 menjejaskan kemajuan kerja-kerja pembinaan.

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 3.75 sen sesaham bagi tahun kewangan 2022, dengan ex-date pada 22 Jun 2022 untuk dibayar pada 7 Julai 2022.

Bersama-sama dengan interim pertama, kedua dividen interim dan ketiga sebanyak 2.0 sen, 3.0 sen dan 3.75 sen masing-masing, jumlah dividen pembayaran akan berjumlah RM104.3 juta atau 52.0 peratus daripada PAT tahun kewangan ini.

Kumpulan melaporkan jualan tidak dibil sebanyak RM1.3 bilion pada 31 Mac 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya