Masa terbaik promosi minyak sawit tempatan - Zuraida - Utusan Malaysia

Masa terbaik promosi minyak sawit tempatan – Zuraida

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengambil peluang yang timbul akibat ketegangan politik di Eropah dan kekurangan minyak masak untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Justeru, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) turut berhasrat untuk membuka jalan agar komoditi ini mendapatkan semula bahagian pasarannya, terutamanya di Kesatuan Eropah (EU).

Zuraida berkata, konflik di Ukraine yang bermula pada 24 Februari lalu telah menjejaskan bekalan global minyak sayuran dengan ketara kerana ketidaktentuan eksport melalui Laut Hitam telah mengakibatkan harga minyak sayuran dan minyak masak yang lebih tinggi. 

Jelasnya, keadaan itu boleh mengetatkan lagi bekalan minyak bijian dan sayuran, sekali gus memanjangkan kitaran kenaikan harga minyak.

“KPPK percaya ketegangan di Laut Hitam akan memberi impak yang positif kepada industri minyak sawit Malaysia kerana banyak negara Eropah yang bergantung kepada minyak bunga matahari, kini sedang beralih kepada minyak sawit.

“Ukraine dan Rusia sedang memasuki masa yang kritikal untuk penanaman bunga matahari yang sepatutnya bermula pada April, tetapi perang yang berpanjangan boleh memberi kesan kepada musim penanaman ini. 

“Eksport minyak bunga matahari daripada Ukraine dan Rusia menyumbang 10 peratus daripada semua eksport minyak masak global,” katanya dalam kenyataan.

Penganalisis pasaran kini menjangkakan peningkatan permintaan minyak sawit dari rantau EU dalam jangka masa terdekat memandangkan kuantiti eksport kacang soya yang lebih rendah dari Brazil, Paraguay, Rusia dan Ukraine serta pengurangan minyak bunga matahari dari Rusia, Kazakhstan dan Ukraine. 

Ditambah pula dengan langkah terbaharu negara jiran Indonesia yang merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, untuk meluaskan skop larangan eksport bahan mentah untuk minyak masak termasuk minyak sawit mentah dan ditapis, harga global minyak sayuran berkemungkinan kekal tinggi untuk separuh pertama tahun ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau percaya masa sekarang merupakan peluang yang baik untuk minyak sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli Eropah walaupun komoditi ini telah menerima publisiti yang kurang baik pada masa lalu.

“Dalam hal ini, saya telah mengarahkan agensi berkaitan di bawah KPPK seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk melaksanakan kempen yang agresif untuk komoditi kami supaya ia dapat mengisi jurang dalam pasaran global minyak minyak.

“Agensi-agensi ini perlu memastikan minyak sawit Malaysia kekal sebagai pilihan utama dalam pasaran global untuk jangka masa panjang, terutamanya di mana pengguna telah terdedah kepada propaganda negatif pada masa lalu.

“KPPK tidak akan mensia-siakan peluang yang ada sekarang dan sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha dalam menentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN