ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor komited untuk memperkasa sektor pendidikan sebagai asas dalam menjana modal insan bertaraf dunia berdasarkan penggunaan teknologi canggih bagi menghasilkan model ekonomi lebih inklusif.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, komitmen itu dapat dilihat menerusi tindakan Kementerian Pendidikan, Republik Maldives yang memilih EduCity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. bagi meneroka beberapa projek dalam skop pendidikan.
Katanya, perkara itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan Johor menjadi hab pendidikan yang mempunyai keperluan dan kekuatan.
“Kami melihat ini sebagai pelaburan yang lebih makmur dan berdaya saing pada masa hadapan. Sektor pendidikan akan terus dipupuk kerana ia menyediakan asas dalam menjana modal insan bertaraf dunia.
“Saya juga berbesar hati untuk menyatakan peranan yang dimainkan pelbagai syarikat berkaitan kerajaan seperti Iskandar Investment Berhad dan EduCity Iskandar dalam mewujudkan kerjasama seperti ini walaupun terdapat gangguan yang disebabkan oleh wabak sejak beberapa tahun lalu,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pertukaran dokumen antara Menteri Pendidikan Maldives, Dr. Aishath Ali dan Pengarah Urusan EduCity Iskandar Malaysia, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi.
Tambah beliau, kerjasama itu juga merupakan bukti bahawa kerja keras syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan telah berjaya memastikan daya tarikan Johor berterusan.
Sementara itu, Wan Ahmad Saifuddin berkata, pihaknya berbesar hati dipilih oleh Kementerian Pendidikan republik itu untuk meneroka lebih lanjut beberapa peluang untuk meningkatkan penawaran pendidikan mereka ke pasaran domestik negara itu.
“Kerjasama ini juga akan menyaksikan pertukaran pengetahuan dan pembangunan bakat untuk kedua-dua pendidik dan pelajar bagi segmen pasaran. Kami juga yakin untuk menyokong peningkatan ekosistem pendidikan mereka dengan bekerjasama dalam pembangunan bakat.
“Kami berharap hubungan ini akan memberi manfaat kepada Republik Maldives dan juga EduCity Iskandar serta negeri Johor,” ujarnya. – UTUSAN










