Khazanah, SK ecoplant jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Khazanah, SK ecoplant jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjalin perkongsian strategik dengan SK ecoplant Co. Ltd. (SK ecoplant), sebuah syarikat daripada Korea Selatan bagi terus memacu pertumbuhan Cenviro Sdn. Bhd. (Cenviro) untuk menjadi peneraju pengurusan sisa serantau.

SK ecoplant dipilih sebagai rakan kongsi pegangan saham minoriti paling tepat bagi membantu Cenviro untuk terus maju ke tahap pertumbuhan strategik seterusnya, sejajar dengan aspirasi pembangunan perindustrian sektor pengurusan sisa negara.

Khazanah akan melaksanakan beberapa inisiatif utama untuk menyampaikan hasil yang memberi kesan kepada negara, termasuk mewakili Malaysia di peringkat global untuk menggalakkan aliran pengetahuan, rangkaian serta peluang pelaburan.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, perkongsian yang dijalinkan antara Khazanah dengan SK ecoplant ini akan membantu memajukan lagi perniagaan Cenviro untuk mencapai tahap global dan meletakkannya di barisan hadapan dalam bidang pengurusan dan pemulihan sisa mampan di rantau ini.

“Pelan pertumbuhan Cenviro selari dengan mandat Khazanah untuk membangunkan syarikat yang berdaya saing di peringkat global yang berpaksikan kemampanan dalam portfolio kami,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cenviro, Dr. Johari Jalil berkata, sebagai peneraju platform pengurusan sisa bersepadu, Cenviro sentiasa meneroka peluang untuk mengembangkan ekosistem pengurusan sisa di rantau ini.

“Perkongsian itu akan mengukuhkan keupayaan operasi dan teknologi kami, meningkatkan penyelesaian pengurusan sisa menyeluruh kami serta membawa nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami,” katanya.

Wakil SK ecoplant pula berkata, SK ecoplant, sebagai platform perniagaan mesra alam No. 1 di Korea Selatan, telah berjaya menemui landasan terbaik untuk terus berkembang di rantau Asia. 

Ujarnya, perkongsian itu sejajar dengan rancangan jangka panjang SK ecoplant untuk mengembangkan perniagaannya berbekalkan pelbagai teknologi dan penyelesaian yang dimilikinya.

Perkongsian strategik itu akan menyaksikan SK ecoplant memegang 30 peratus kepentingan dalam Cenviro manakala Khazanah terus kekal sebagai pemegang saham majoriti syarikat pengurusan sisa tersebut.

Kelulusan daripada pihak pengawal selia akan didapatkan sebagai sebahagian daripada keperluan transaksi ini. Sementara menantikan kelulusan tersebut, Cenviro akan beroperasi seperti biasa.

Perkongsian yang dijalinkan ini merupakan langkah penting dalam pelan hala tuju strategik Cenviro untuk rantau ini, menggabungkan keupayaan operasi dan teknologi SK ecoplant dengan penguasaan dalam negara yang dimiliki oleh Cenviro.

Khazanah dan SK ecoplant percaya bahawa perkongsian ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Cenviro sebagai platform pengurusan sisa terjadual yang unggul, membantu dalam pertumbuhannya serta mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya