PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempunyai pelan ekonomi strategik dalam tempoh mencabar ini bagi memastikan nilai ringgit tidak terus melemah seterusnya menggugat ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini penting kerana menerusi pelan strategik, ia dapat menunjukkan hala tuju negara untuk diseragamkan dengan pihak swasta, rakyat serta pelabur dalam dan luar negara.
“Dengan pelan strategik, kita boleh membendung nilai ringgit daripada terus jatuh ekoran krisis Rusia-Ukraine, pandemik dan keputusan Amerika Syarikat yang meningkatkan kadar inflasi secara berperingkat sepanjang tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 19 Mei lalu, ringgit mencatatkan prestasi terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam hampir dua tahun pada kadar 4.4023, selepas mengalami penyusutan ketara berbanding 4.3365 yang direkodkan sejak awal bulan ini.
Kali terakhir ringgit mencecah paras terendah berbanding dolar ialah pada 24 Mac 2020 apabila didagangkan pada 4.4385/4.4385.
Semalam, ringgit diniagakan lebih tinggi pada 4.3755/3710 berbanding dolar daripada 4.3925/3790 Jumaat lalu
Selain itu, Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan perlu membangunkan sektor pelancongan dengan lebih serius kerana ia membawa masuk mata wang asing melalui pelancong-pelancong asing yang datang ke negara ini.
“Ia akan menguatkan lagi mata wang negara namun menarik pelancong asing dalam situasi pasca pandemik ini bukan perkara mudah kerana kekangan berbeza yang dikenakan kepada pelancong dari negara-negara lain di seluruh dunia.
“Keadaan itu juga dapat meningkatkan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang bergantung kepada kunjungan pelancong asing bagi menggerakkan perniagaan hotel, rumah inap, restoran dan sebagainya,” ujarnya.
Tambah beliau, mengurangkan pekerja asing adalah satu lagi langkah yang perlu diambil kerana mereka akan menghantar pulang wang ke keluarga masing-masing di negara asal saban tahun, sekali gus menyebabkan aliran keluar ringgit yang besar.
“Perkara ini akan melemahkan nilai ringgit berikutan penghantaran tersebut. Namun, secara realistiknya, langkah ini bukan mudah kerana kebergantungan kita kepada pekerja asing dalam hampir semua sektor ekonomi negara terutamanya pembinaan dan perladangan.
“Justeru, kerajaan perlu membantu sektor-sektor ini meningkatkan automasi dalam operasi harian mereka selain menarik minat rakyat tempatan untuk mula menceburi pekerjaan seperti di ladang dan sebagainya supaya kita tidak lagi bergantung kepada tenaga kerja asing,” katanya. – UTUSAN










