PETALING JAYA: Axiata Group Berhad (Axiata) mengumumkan peletakan lawatan Datuk Izzaddin Idris sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 31 Mei 2022.
Menurut syarikat telekomunikasi itu, peletakan jawatan beliau adalah berdasarkan kontrak perkhidmatannya dengan Axiata.
Berikutan peletakan jawatan Izzaddin, Lembaga Pengarah telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif Axiata untuk Perniagaan Telekomunikasi dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan, Dr. Hans Wijayasuria, dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Vivek Sood sebagai pemangku bersama CEO Kumpulan berkuat kuasa 1 Jun 2022.
“Hans dan Vivek akan mengekalkan jawatan dan portfolio semasa mereka. Lembaga Pengarah tidak menjangkakan untuk membuat perubahan struktur atau kepimpinan kanan dalam masa terdekat,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, Lembaga Pengarah mengucapkan penghargaan kepada Izzaddin di atas kepimpinan beliau selama lebih dua tahun.
Kata beliau, Izzaddin memegang tampuk kepimpinan pada 1 Januari 2021 ketika kemuncak krisis Covid-19, selepas berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sejak Januari 2020.
“Beliau telah memainkan peranan penting dalam membentuk tindak balas strategik Kumpulan untuk menjamin kestabilan dan kesinambungan perniagaan dalam menghadapi situasi yang mencabar dan tidak pernah berlaku sebelum ini yang merentasi banyak aspek operasi kami.
“Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Axiata sejak November 2016, beliau teguh dalam menterjemah visi Axiata 5.0 ,” katanya.
Sehubungan itu kata Shahril, pelantikan Hans dan Vivek adalah untuk memastikan visi Axiata 5.0 dapat diteruskan.
“Dalam pelantikan Hans dan Vivek sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bersama, kami mempunyai dua penerajui industri yang sangat mengenali perniagaan Axiata. Mereka berdua sangat memahami budaya kami dan sangat komited terhadap kejayaan usaha niaga kami,” kata beliau. – UTUSAN










