PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) merekodkan prestasi suku pertama tahun kewangan 2022 yang positif apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 44 peratus dalam Keuntungan Selepas Cukai dan Faedah Minoriti (PATAMI) sebanyak RM21.59 juta daripada RM14.97 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Hasil Kumpulan bagi suku dilaporkan meningkat 51 peratus kepada RM198.11 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Pendapatan yang lebih baik pada suku pertama itu disokong terutamanya oleh purata harga realisasi yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK),” lapor THP dalam kenyataan.
Di peringkat operasi, TH Plantations terus menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan melaporkan keuntungan kasar RM68.26 juta, peningkatan 34 peratus daripada RM50.88 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut THP, persekitaran operasi mencabar yang berterusan, sebahagian besarnya disebabkan oleh kekurangan buruh yang meruncing dan kos jualan lebih tinggi, mendorong Kumpulan untuk berinovasi sambil meneruskan usaha ke atas kemampanan, penanaman semula dan mekanisasi operasi untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan operasi dan pengurusan kos yang lebih berkesan.
“THP menjangkakan harga minyak sawit akan kekal tinggi dan menggalakkan untuk separuh pertama tahun ini, memandangkan tahap inventori yang ketat di Malaysia akibat kekurangan buruh yang meruncing dan bekalan minyak boleh dimakan global
yang ketat disebabkan oleh keadaan cuaca dan kesan konflik Ukraine dan Russia.
“Kami berwaspada akan kesan dasar eksport minyak sawit Indonesia baru-baru ini yang menyokong agenda obligasi pasaran domestiknya,” katanya. – UTUSAN










