DHL Ekspress Malaysia buka fasiliti baharu RM13 juta

DHL Ekspress Malaysia buka fasiliti baharu RM13 juta

Chow Kon Yeow (kanan) dan Julian Neo (tengah) membuat lawatan ke gudang Pusat Khidmat Prai DHL Ekspress Malaysia di Taman Perindustrian Batu Kawan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI: Penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa terkemuka DHL Express Malaysia membuka fasiliti baharu bernilai RM13 juta sebagai respons terhadap peningkatan permintaan untuk perkhidmatan penghantaran antarabangsa oleh para peniaga di negeri-negeri utara Malaysia.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo berkata, pusat bersaiz lima kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya di Taman Inderawasih, (Seberang Perai Tengah) akan menambah baik kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170 peratus.

“Pusat Khidmat Prai baharu ini merangkumi ruang pergudangan dan pejabat seluas 2,386 meter persegi iaitu lima kali ganda lebih besar dari saiz lokasi sebelumnya.

“Hal ini akan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak 170 peratus, yang membolehkan masa transit yang lebih pantas dan seterusnya meningkatkan tahap perkhidmatan untuk pelanggan di tanah besar Pulau Pinang, Perlis, dan Kedah,” katanya pada majlis perasmian Pusat Khidmat Prai Baharu DHL Express Malaysia, di Taman Perindustrian Batu Kawan, di sini, semalam.

Katanya, melalui Pusat Khidmat Prai yang baharu itu, pelanggan DHL Express Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik dalam memanfaatkan percambahan sektor e-dagang B2B dan B2C.

“Penyertaan dalam perdagangan luar negara boleh membawa kedayatahanan, pembangunan mampan dan pekerjaan berkualiti untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga syarikat besar.

“Sebagai fasilitator utama dalam rantaian bekalan global, DHL Express membantu perniagaan tempatan merealisasikan potensi pertumbuhan mereka melalui menebusi pasaran eksport,” katanya.

Julian menambah, selaras dengan komitmen Deutsche Post DHL Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, fasiliti tersebut dilengkapi dengan sistem panel solar dan infrastruktur cekap tenaga yang dijangka akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 26.9 peratus.

“Pusat Khidmat Prai mengendalikan penghantaran domestik dan antarabangsa ke 220 negara dan wilayah di bawah liputan DHL Express selain turut menyediakan kemudahan ServicePoint bagi pelanggan untuk mengumpul dan menurunkan bungkusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang turut hadir merasmikan majlis tersebut berkata, dengan adanya fasiliti baharu itu ia dilihat dapat menyokong perkembangan perniagaan tempatan yang kini menunjukkan ke arah peningkatan dalam jumlah jualan luar negara.

“Pelaburan ini menunjukkan keyakinan penyedia logistik tersebut dalam negeri ini yang secara keseluruhannya akan memanfaatkan ketersambungan strategik Pulau Pinang ke rantau Asia,” katanya.

Pusat Khidmat Prai DHL Ekspress Taman Perindustrian Batu Kawan merupakan salah satu daripada tiga fasiliti di negeri ini, selain daripada Penang Gateway dan Pusat Khidmat Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN