PETALING JAYA: Sejajar dengan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, institusi kewangan di dalam negara juga telah meningkatkan kadar asas (BR), kadar asas pinjaman (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus.
Peningkatan tersebut akan menyaksikan pelanggan perlu membayar semula pinjaman mereka pada kadar lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Antara institusi kewangan yang meningkatkan ketiga-tiga kadar tersebut ialah OCBC Bank yang akan meningkatkan BR, BLR dan BFR sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa 18 Mei 2022 (hari ini).
Dalam satu kenyataan, bank berkenaan memberitahu, semua kadar pinjaman dan pembiayaan berasaskan BR, BLR dan BFR akan dinaikkan pada kadar yang sama.
“Semua kadar deposit tetap konvensional dan kadar niaga deposit bertempoh Islam juga akan ditingkatkan pada hari yang sama.
“Selepas langkah di atas, BR OCBC Malaysia meningkat daripada 2.58 peratus kepada 2.83 peratus, manakala BLR/BFR meningkat daripada 5.51 peratus kepada 5.76 peratus,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Mengulas kenaikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin berkata, peningkatan 0.25 peratus dalam Kadar Dasar Semalaman merupakan langkah Bank Negara mengekang tekanan inflasi sambil memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan pemulihan ekonomi negara dalam peralihan kepada fasa endemik.
Sementara itu, Maybank pula menaikkan BR dan BLR sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 13 Mei lalu. Kenaikan itu menjadikan kadar BR Maybank meningkat kepada 2.0 peratus daripada 1.75 peratus sementara BLR meningkat daripada 5.40 peratus kepada 5.65 peratus.
Begitu juga BR dan BFR untuk pembiayaan Islamik Maybank meningkat 25 mata asas daripada 1.75 peratus kepada 2.0 peratus dan daripada 5.40 peratus kepada 5.65 peratus.
“Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga diselaraskan berkuat kuasa 13 Mei 2022. Semakan terakhir Kadar Asas Maybank adalah pada 9 Julai 2020 apabila ia dikurangkan daripada 2.00 peratus kepada 1.75 peratus berikutan penurunan OPR dengan kuantum yang sama,” katanya.
MBSB Bank pula dalam laman webnya memberitahu, kadar BR dan BFR bank berkenaan dinaikkan bermula 17 Mei 2022, membabitkan pembiayaan baharu dan pembiayaan semula.
Ketika ini kadar BR dan BFR bank berkenaan ialah 2.90 peratus dan 5.75 peratus.
Public Bank pula dalam laman webnya turut memaklumkan kadar terkini BR dan BLR bank itu masing-masing pada 2.52 peratus dan 5.72 peratus, berkuat kuasa 13 Mei 2022.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Rabu lalu (11 Mei 2022) memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.0 peratus, berbanding paras terendah pada 1.75 peratus yang diputuskan sejak 7 Julai 2020.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Bank Pusat itu berkata, pembukaan semula ekonomi global berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.
BNM memaklumkan, inflasi keseluruhan diunjurkan di antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada tahun ini. – UTUSAN










