Bangun sistem pengurusan lebuh raya pintar

Bangun sistem pengurusan lebuh raya pintar

lebuh raya
Abdul Rashid Asari (dua kiri) dan Mohd. Azrul Fauzi Baharon menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman antara LLM dan PCSB di Putrajaya, semalam, disaksikan oleh Mohd. Shuhaimi Hassan (kiri) dan Mohd. Edzreen Mohd. Din (kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Aplikasi telefon pintar yang berfungsi menyalurkan maklumat kepada pengguna berkaitan situasi trafik di lebuh raya secara masa sebenar (real time) bakal dibangunkan menerusi kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan syarikat Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB).

Dalam melaksanakan perkara tersebut, LLM menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar yang berkonsepkan Smart Highway.

Pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, konsep Smart Highway ini akan melibatkan pembangunan aplikasi telefon pintar untuk operasi dan sistem pengurusan aset lebuh raya yang komprehensif dan sistematik bagi tujuan reka bentuk, pembinaan dan penyelenggaraan.

“Mengenai aplikasi telefon pintar, pengguna boleh mengetahui keadaan lalu lintas secara real time di mana jika berlaku kemalangan, kesesakan, tanah runtuh dan sebagainya, sekali gus boleh merancang perjalanan dengan menggunakan jalan alternatif lain.

“Apa yang penting aplikasi ini menunjukkan maklumat real time iaitu mereka akan dapat maklumat itu serta-merta,” katanya pada sidang akbar MoU antara LLM dan PCSB di sini, semalam.

Beliau berkata, pengguna turut mendapat manfaat daripada penggunaan aplikasi tersebut antaranya e-wallet serta ciri-ciri tambahan lain seperti perkongsian kenderaan (car pool) untuk kemudahan orang ramai.

“Sebelum ini hebahan kepada pengguna lebuh raya misalnya melalui Google selain media sosial Twitter serta maklumat di televisyen namun dengan aplikasi ini, ia lebih baik daripada yang ada sekarang kerana maklumat adalah secara real time,” ujarnya.

Aset lebuh raya

Katanya lagi, penggunaan teknologi Internet Of Thing (IOT) dalam pemantauan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan aset lebuh raya juga sudah pasti akan meningkat tahap efisiensi dalam memastikan pengurusan aset lebuh raya lebih teratur dan komprehensif.

Terdahulu, LLM diwakili oleh Abdul Rashid manakala, PCSB diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd. Azrul Fauzi Baharon menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Mohd. Shuhaimi Hassan dan Pengerusi Eksekutif PCSB, Datuk Mohd. Edzreen Mohd. Din.

Sementara itu, Mohd. Edzreen berkata, aplikasi tersebut dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk dibangunkan serta boleh dimuat turun secara percuma namun, sama ada memerlukan bayaran atau sebaliknya akan dibincangkan kelak.

Selain maklumat lalu lintas di lebuh raya, aplikasi itu juga bakal dimuatkan dengan tempahan makanan di hentian rehat dan rawat (R&R) sekali gus menjimatkan masa terutama musim perayaan yang menyebabkan kehadiran ramai pelanggan.

Ia juga akan mempunyai kemudahan seperti tempat letak kereta premium, maklumat berkenaan R&R serta ciri-ciri keselamatan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna apabila berlaku kejadian tidak diingini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN