PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan komitmennya dalam agenda memperkasa koperasi bagi melihat gerakan ini kekal lestari dalam memainkan peranan dan memberi sumbangan kepada landskap ekonomi negara serta peningkatan kualiti taraf hidup anggotanya dan rakyat Malaysia.
Angkasa sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan sentiasa melaksanakan inisiatif bagi mewujudkan bidang baharu untuk diceburi oleh koperasi melalui proses eksplorasi dan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan sesuai dengan permintaan dan keperluan semasa.
Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pelbagai fasa dan cabaran telah dilalui oleh Angkasa bersama gerakan koperasi akibat ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh krisis pandemik COVID-19.
Katanya, koperasi juga tidak terlepas menerima tempiasnya namun koperasi tetap dapat bertahan bukan sahaja dalam memenuhi keperluan ekonomi a anggotanya malah menyediakan platform seperti peluang pekerjaan dan ruang untuk meningkatkan keberdayaan keusahawan untuk rakyat Malaysia. Ini jelas menunjukkan koperasi yang bertunjangkan sokongan padu daripada anggotanya mempunyai daya tahan dalam menghadapi pelbagai krisis.
Bagi memastikan Angkasadapat memainkan peranan dan tanggunjawabnya, Pelan Strategik Angkasa 2050 atau PESAN50 telah dirangka dan dilaksanakan pada ketika ini.
PESAN50 mengambil kira dasar-dasar dan kepentingan oleh pemegang taruhnya agar fungsi Angkasa sebagai badan induk dapat dijalankan dengan lebih cekap, berkesan dan menyeluruh.
PESAN50 ini turut diselarikan dengan usaha kerajaan untuk menyumbang kepada pengukuhan platform keusahawanan koperasi sebagai platform meningkatkan ekonomi rakyat seperti Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030).
“Pelan ini dibangunkan dengan mengambil kira matlamat untuk menjadikan memasyarakatkan, membudayakan koperasi serta menjadikan koperasi sebagai gaya hidup dan pilihan utama penduduk di negara ini.
“Angkasa akan terus mencari ruang dan peluang bagi koperasi terlibat dalam sektor perniagaan berimpak tinggi. Usaha ini dibuat menerusi Lapan Sektor Pembangunan Perniagaan Koperasi bagi mengurangkan risiko kerugian
kepada pihak koperasi. ANGKASA sendiri menjalankan proses inkubasi sesebuah perniagaan dan sekiranya projek berjaya, ianya kan ditawarkan kepada koperasi yang mempunyai kemampuan untuk menjayakannya,” beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Sambutan Jubli Emas dan Pelancaran Sambutan 51 Tahun secara dalam talian pada hari ini.
Angksa ditubuhkan pada 12 Mei 1971 hasil daripada cadangan Kongres Kerjasama Malaysia Kedua yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Kini sehingga Jun 2021, Angkasa memayungi 14,657 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.04 juta individu, dengan syer/yuran sebanyak RM16.3 Bilion, Aset sebanyak 152.16 Bilion dan perolehan sehingga Disember 2020 sebanyak RM41.47 Bilion.
Sepanjang penubuhannya, Angkasa mewakili suara gerakan koperasi untuk dibawa kepada pihak berkepentingan seperti pihak kerajaan bagi mengeratkan hubungan kerjasama dan dua hala demi meluaskan lagi perkhidmatan yang dapat ditawarkan oleh koperasi dalam pasaran terbuka.
Begitu juga dengan isu yang menjejaskan perusahaan seperti contoh isu sekatan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah di mana Angkasa telah membawa isu ini untuk diteliti di peringkat global melalui International Co-operative Alliance (ICA) yang disertai oleh pemimpin koperasi seluruh dunia.
Pada peringkat antarabangsa ia mempunyai hubungan dan imej yang baik dengan koperasi luar negara. kepimpinannya telah dilantik menduduki jawatankuasa dalam pelbagai sektor di peringkat global. Pemilihan ini merupakan pengiktirafan dan peluang kepadanya untuk membincangkan agenda pemerkasaan koperasi secara menyeluruh dan membawa nama Malaysia di mata dunia.
Memasuki ulang tahun ke-51, ia akan terus berdiri teguh dan kekal kukuh mempertahankan dan memperjuangkan hak dan kepentingan gerakan koperasi serta komited untuk meneraju dan melaksana inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 bagi memperluas akses anggota koperasi dan menyediakan peluang yang sama kepada seluruh keluarga Malaysia untuk menikmati kemakmuran ekonomi menerusi platform koperasi demi
melestarikan kesejahteraan sosioekonomi negara. – UTUSAN









