Agrobank buka cawangan ke-140 di Telupid, Sabah.

Agrobank buka cawangan ke-140 di Telupid, Sabah

RONALD Kiandee merasmikan Agrobank Cawangan Telupid, disaksikan oleh Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank meluaskan rangkaian perbankannya di Sabah dengan pembukaan cawangannya yang ke-140 di Telupid.

Pembukaan cawangan itu telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Menurut Agrobank, Telupid dipilih sebagai lokasi terbaharu institusi kewangan pembangunan itu kerana kegiatan ekonominya dalam sektor pertanian serta industri pemprosesan makanan khususnya dalam penternakan ikan, penanaman
sayur-sayuran dan buah-buahan serta tanaman kelapa sawit dan getah.

“Luasan rangkaian perbankan ini merupakan antara komitmen berterusan Agrobank dalam memenuhi mandat yang telah didukung iaitu untuk membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ronald breakta, Telupid adalah sebuah daerah yang sangat sinonim dengan sektor pertanian seperti tanaman sayur-sayuran, penternakan ikan serta perladangan komoditi kelapa sawit dan getah.

“Oleh itu, pembukaan CawanganTelupid ini adalah amat tepat pada masanya dan diharapkan agar kegiatan ekonomi penduduk juga dapat terus dipertingkatkan terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang khusus untuk komuniti agromakanan dan juga peniaga-peniaga di Telupid dan kawasan-kawasan berdekatan,” katanya.

Beliau turut memuji langkah proaktif Agrobank dengan memilih Telupid untuk membuka rangkaian perbankannya di situ kerana kawasan itu terletak 232 kilometer dari Kota Kinabalu dan 130 kilometer dari Sandakan.

Kedudukan itu ternyata menyukarkan penduduk Telupid untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan yang holistik seperti pembukaan akaun bank, perkhidmatan pembiayaan dan lain-lain.

Pada 2021, Agrobank telah membuka cawangannya di Beluran sebagai usaha untuk menawarkan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat luar bandar.

Sebelum itu, penduduk di Kawasan Beluran terpaksa ke Sandakan sejauh kira-kira 82 kilometer, untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.

Mengulas pembukaan cawangan itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, demi menjamin kelestarian sektor pertanian negara, Agrobank akan terus komited dan optimis untuk terus membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk dan perkhidmatan perbankan ditawarkan, yang memenuhi keperluan para pelanggan di sepanjang rantaian nilai pertanian dan agromakanan.

“Apatah lagi dengan jarak perjalanan yang jauh dari Kota Kinabalu dan Sandakan ke daerah ini, pembukaan cawangan di Telupid ini pastinya dapat membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan berkaitan perbankan yang dihadapi oleh golongan luar bandar dalam mendapatkan perkhidmatan perbankan.

“Saya berharap, cawangan ini akan dapat membantu komuniti setempat untuk merancakkan lagi sektor pertanian di daerah ini menerusi penawaran perkhidmatan perbankan kami sekali gus membantu meningkatkan kelestarian bekalan makanan negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ronald turut menyampaikan surat tawaran pembiayaan di bawah program Keluarga Malaysia Guarantee Government Scheme kepada 89 Supersave Mini Market di sekitar Telupid.

Agrobank turut menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM10,000.00 kepada Parlimen Beluran untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh yang mencabar ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN