PETALING JAYA: Pakar ekonomi mempersoalkan kedudukan kewangan kerajaan dan Petronas sekiranya syarikat minyak negara itu bertindak ‘menyelamatkan’ atau ‘bail out’ Sapura Energy Berhad (SEB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, persoalan pertama yang perlu diambil kira ialah adakah kedudukan kewangan kerajaan dan Petronas kukuh buat masa ini.
“Kedudukan kewangan kerajaan telah banyak ditumpukan kepada pemulihan Covid-19, dan tak mampu nak berbelanja lagi. Jika Petronas yang menyelamatkan SEB, maksudnya hasil yang dibayar Petronas kepada kerajaan akan berkurangan.
“Yang kedua, adakah ‘bail out’ itu diperlukan dan dijustifikasikan? Adakah kedudukan kewangan darurat SEB disebabkan perkara tulen, eksternaliti dan bukan kerakusan pengurusan?
“Audit forensik perlu dilakukan bagi memastikan kita mengambil langkah tegas dan tidak bersekongkol dengan kepincangan pengurusan yang menswastakan keuntungan dan mensosialkan kerugian.
“Isyarat jelas perlu dihantar kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di luar sana yang kita mengutamakan integriti dan ketelusan,” katanya.
Pada 12 Mei lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar Petronas mengambil alih SEB bagi mengelakkan syarikat itu diisytiharkan muflis.
Tambahnya, Petronas mempunyai kepakaran untuk menggiatkan semula syarikat itu. Beliau turut mencadangkan agar SEB diberi pinjaman bank yang dijamin kerajaan.
“Selepas Petronas memperoleh SEB, syarikat minyak negara itu boleh menjamin kontrak bernilai RM7 bilion dan menyelesaikannya selain menyediakan modal kerja yang kukuh untuk syarikat minyak dan gas.
“Apabila SEB telah diperbaharui, Petronas boleh menjualnya. Apabila itu berlaku, Petronas dan Amanah Saham Bumiputera akan mendapat manfaat,” kata Najib dalam debat dengan Ketua Pembangkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga setuju SEB dibantu supaya syarikat itu tidak diisytiharkan muflis dan pengauditan forensik dilaksanakan bagi menyelamatkannya.
Katanya, lebih 10 juta pegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN), mempunyai kepentingan dalam syarikat terbabit.
“Lebih RM5 bilion dilaburkan oleh PNB dan syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor.
“Tanpa langsung menggunakan dana kerajaan, Petronas sesuai mengambil alih dan melakukan turn-around seberapa segera. Kita setuju pengauditan forensik turut dilakukan supaya ia lebih telus,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, prestasi kewangan negara perlu diambil kira sebelum Petronas membuat keputusan mengambil alih SEP.
Menurut Mustapa, walaupun tidak melibatkan kerajaan, sebarang tindakan sedemikian masih perlu diteliti kerana Petronas adalah milik kerajaan. – UTUSAN










