PETALING JAYA: UOB Malaysia dan HSBC Malaysia berjaga menetapkan harga tawaran Nota Jangka Sederhana (MTN) bagi tempoh tempat tahun bernilai RM350 juta untuk Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn. Bhd. (MBSM).
Terbitan MTN itu yang akan dibayar pada Mac 2026 pada kadar kupon tetap 3.62 peratus setahun, telah diberi penarafan AAA(s) oleh RAM Rating Services Berhad, jelas kenyataan bersama syarikat kewangan dan automotif itu, semalam.
Jelasnya, sebagai terbitan hutang keenam MBSM dalam pasaran bon Ringgit, transaksi itu merupakan terbitan terbesar syarikat dan menerima kadar lebihan langganan tertinggi sehingga kini.
“Terbitan MTN terbaharu oleh MBSM ini mendapat sambutan baik dengan kadar langganan 4.76 kali ganda, berikutan jumlah terbitan yang dinaikkan daripada RM250 juta pada permulaannya.
“Transaksi amat penting ini menarik permintaan kukuh daripada pelbagai kumpulan pelabur berkualiti tinggi yang terdiri daripada syarikat insurans, pengurus dana, bank, bank swasta dan entiti separa kerajaan.
“Tawaran tersebut mencapai tebaran atau spread yang ketat, bersamaan dengan 54 mata asas di atas kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) empat tahun dan lebih rendah daripada hasil bon MBSM sedia ada yang didagangkan di pasaran,” jelasnya.
Menurut kenyataan itu, transaksi MTN keenam MBSM mengukuhkan lagi keyakinan dan sokongan MBG terhadap pasaran hutang domestik.
Transaksi itu adalah sebahagian daripada program tawaran hutang MBSM berjumlah RM3.0 bilion yang dilancarkan pada Mei 2018.
Katanya, MBSM ialah anak syarikat Mercedes-Benz Mobility, sebuah bahagian Mercedes-Benz Group AG, yang turut termasuk pengeluar kenderaan Mercedes-Benz AG, salah satu pengeluar kereta penumpang mewah terbesar di dunia.
MBSM membiayai, memajak dan menginsuranskan kereta penumpang Mercedes-Benz selain menyokong jualan jenama automotif Kumpulan Mercedes-Benz, jelasnya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, walaupun menghadapi keadaan pasaran global yang tidak menentu, terbitan MTN berjaya memperoleh harga yang ketat serta permintaan kukuh daripada pelabur institusi untuk menjadi terbitan terbesar MBSM setakat ini.
“Ini merupakan pengesahan jelas keyakinan pelabur terhadap kredit kukuh dan pengurusan mudah tunai MBSM yang proaktif,” katanya.
Ketua Negara Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah pula berkata, ia merupakan pencapaian cemerlang terutamanya untuk MBSM kerana mencapai kadar lebihan langganan tertinggi setakat ini daripada pelabur, menghasilkan harga lebih rendah daripada hasil sekunder semasanya yang didagangkan di pasaran.
“Selain itu, transaksi ini telah diselesaikan dalam ketidaktentuan pasaran semasa yang meningkat, membuktikan keyakinan pelabur terhadap Kumpulan Mercedes-Benz. Kejayaan transaksi ini menunjukkan bahawa kecairan domestik masih tersedia untuk penerbit berkualiti,” kata beliau. – UTUSAN









