TNB jalin kerjasama strategik dengan S P Setia Berhad

TNB-S P Setia bekerjasama inisiatif tenaga pintar, boleh diperbaharui

MUSTAPA Mohamed (tengah) menyaksikan Choong Kai Wai (tiga kanan) dan Megat Jalaluddin Megat Hassan bertukar dokumen perjanjian persefahaman di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Syed Anwar Jamalullail (dua kanan), Hasan Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain Onn (tiga dari kiri). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan S P Setia Berhad (S P Setia) untuk menyediakan solusi tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada bakal pembeli kediaman dan bangunan komersial yang dibangunkan syarikat pemaju hartanah itu.

Sehubungan itu, memorandum persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani bagi membolehkan pemasangan sistem solar PV di atas bumbung, persediaan pemasangan solusi bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial S P Setia akan datang serta pemasangan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, menerusi kerjasama dengan S P Setia, ia membolehkan rumah baharu yang dibina dilengkapi dengan panel solar tersebut.

“Maknanya, pengguna pada hari pertama dapat rumah telah dapat manfaat bumbung solar. Kita juga ingin menyemarakkan solusi berhubung dengan EV kerana seperti mana kita tahu ini satu landasan yang boleh membantu negara dari sudut pengurangan pelepasan karbon.

“Premis tersebut akan direka bentuk untuk menyokong kemudahan pemasangan pengecas EV apabila pemilik berhasrat memasangnya kelak,” pada Majlis Menandatangani MoU Antara TNB dan SP Setia di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi S P Setia Berhad, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad, Datuk Choong Kai Wai.

MoU tersebut ditandatangani oleh Megat Jalaluddin dan Kai Wai serta bersaksikan oleh Ketua Pegawai Pelanggan (Government & Large Business) TNB, Nasaruddin Mohd Zaini dan Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang.

Selain Mustapa dan Syed Anwar, majlis MoU itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood; Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin.

Dalam pada itu, Kai Wai berkata, S P Setia menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini di mana syarikat bercadang menyediakan kemudahan solusi tenaga pintar dalam projek pembangunan akan datang.

“Justeru kami berbesar hati menandatangani MoU ini dengan pembekal utiliti negara. Ini merupakan satu pencapaian dalam kerjasama untuk menyediakan solusi tenaga mampan kepada bakal pemilik hartanah kami di masa hadapan dengan potensi penjimatan ketara dalam penggunaan tenaga sebagai nilai tambah,” ujarnya.

Sementara itu, Mustapa berkata, MoU antara TNB dan S P Setia akan menggambarkan komitmen yang kuat kedua-dua syarikat terhadap tenaga hijau, dalam menyokong usaha ke arah Net Zero seawal-awalnya pada 2050.

“Antara elemen-elemen utama dalam MoU ini adalah penyediaan panel-panel solar bumbung oleh TNB kepada unit-unit kediaman dan komersial S P Setia bagi menyokong tenaga hijau. Ini akan mengoptimumkan kos elektrik untuk pembeli rumah masa depan dan menyokong agenda kelestarian.

“Bagi menyokong pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, TNB akan bekerjasama dengan S P Setia dalam menyediakan infrastruktur yang relevan di unit-unit kediaman seperti pengecas EV dan bateri untuk menyimpan tenaga.

“TNB dan SP Setia akan bersama-sama mempromosi dan meningkatkan kesedaran mengenai solar atas bumbung, teknologi EV dan bateri sepanjang siri penglibatan dengan pihak berkepentingan berkaitan ekosistem teknologi hijau dan faedahnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya