PETALING JAYA: Lingkaran Trans Kota Holdings Berhad (LITRAK Holdings) menerima tawaran pengambilalihan kepentingannya di dalam Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (SPRINT) daripada Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR).
LITRAK merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Damansra-Puchong (LDP), sementara SPRINT pemegang konsesi Lebuhraya SPRINT.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu, pihaknya telah menerima surat tawaran bersyarat daripada ALR pada 2 April lalu untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan dalam LITRAK.
Pada tarikh sama, SPRINT Holdings, syarikat dimiliki 50 peratus kepentingan oleh LITRAK Holdings, turut menerima tawaran membabitkan pengambilalihan keseluruhan kepentingannya dalam lebuh raya berkenaan.
“Setiap tawaran adalah bersyarat tertakluk kepada syarat tawaran,” katanya dalam makluman berkenaan.
Jelasnya, ALR ialah syarikat awam yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 yang pemegang sahamnya adalah “bukan untuk keuntungan”, mempunyai mandat Kerajaan Malaysia (GoM) untuk membantu mereka dalam cadangan penstrukturan semula konsesi lebuh raya bertol tertentu untuk membebaskan GoM daripada membayar pampasan kepada syarikat konsesi yang dikenal pasti dari 1 Januari 2022.
Katanya, mandat ALR menjaga kepentingan ekonomi pengguna lebuh raya yang disasarkan konsesi berkenaan, dan oleh itu:
* ALR mesti mengekalkan kadar tol semasa tanpa sebarang kenaikan, termasuk dalam sebarang tempoh lanjutan daripada konsesi sedia ada yang diperlukan untuk memudahkan kejayaan penstrukturan semula; dan
* ALR akan mempercepatkan pemulangan semula konsesi kepada GoM selepas penyelesaian penuh semua hutang kewangan ALR yang ditanggung dalam memperoleh konsesi lebuh raya yang dikenal pasti (berdasarkan persetujuan
syarat)
Tambahnya,antara terma dan syarat tawaran itu adalah, ALR secara bersyarat menawarkan untuk membeli semua Sekuriti LITRAK berdasarkan nilai perusahaan (EV) sebanyak RM2.119 bilion pada 31 Disember 2021 (Tarikh Penilaian), sementara SPRINT pula berdasarkan EV sebanyak RM1.808 bilion pada tarikh penilaian.
Tempoh eksklusif tawaran adalah selama 125 hari dari tarikh penerimaan tawaran.
“Tawaran tertakluk kepada syarat diterima sebelum pelaksanaan Perjanjian Definitif yang akan dilaksanakan sebelum 31 Julai 2022 atau tarikh lanjutan lain yang mungkin dipersetujui bersama antara pihak,” jelasnya.
LITRAK Holdings mempunyai 100 peratus kepentingan di dalam Litrak dengan anggaran nilai saham berjumlah RM2.246 bilion, dan 50 peratus kepentingan di dalam SPRINT dianggarkan bernilai RM452 juta.
Menurut laporan, ALR telah mengemukakan cawangan pengambilalihan 100 peratus empat lebuh raya di Lembah Klang. Ia sebahagian daripada pelan kerajaan untuk menstrukturkan semula konsesi lebuh raya berkenaan tanpa kenaikan tol, tanpa perlu membayar sebarang pampasan.
Syarikat konsesi terlibat ialah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Labuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (Terowong SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Lebuhraya SPRINT) and Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Lebuhraya Damansara-Puchong [LDP]). – UTUSAN










