Seng Fong dapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk penyenaraian

Seng Fong dapat kelulusan SC untuk penyenaraian di Bursa Securities

ER HOCK LAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seng Fong Holdings Berhad (Seng Fong) memaklumkan syarikat itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Dengan sejarah penubuhan pada 1986, Seng Fong terlibat terutamanya dalam pemprosesan Getah Standard Malaysia (SMR) dan getah blok gred premium serta perdagangan getah blok, di mana pelanggan kebanyakannya adalah pengilang tayar atau peniaga getah antarabangsa.

Syarikat juga mengendalikan makmal yang diluluskan oleh Lembaga Getah Malaysia untuk ujian, penggredan dan pensijilan getah blok yang diproses

Menurut draf prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Seng Fong yang disiarkan di laman web SC, penyenaraian itu melibatkan tawaran awam permulaan sehingga 160.87 juta saham biasa terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan tawaran untuk dijual sehingga 70.06 juta saham.

“Saham IPO dibahagikan kepada tawaran institusi sehingga 118.68 juta saham mewakili 22.9 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan dan, tawaran runcit sehingga 42.20 juta saham mewakili 8.1 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan,” katanya dalam kenyataan.

Pengarah Urusan Seng Fong, Er Hock Lai berkata, penyenaraian itu akan meningkatkan reputasi dan membantu syarikat mengembangkan pangkalan pelanggan di peringkat global dan mendapat akses kepada pasaran modal untuk mengumpul dana bagi peluang pertumbuhan masa hadapan.

“Penyenaraian itu juga membolehkan kami mengumpul dana yang kami perlukan untuk pemasangan sistem biojisim yang akan menyediakan sumber bahan api untuk operasi pemprosesan kami dan pada masa yang sama mencapai penjimatan kos dengan mengurangkan kos bahan api keseluruhan.

“Kami juga memasang dua unit Sistem Solar untuk membantu kami mengurangkan kos elektrik serta membantu kami mencapai matlamat kemampanan kami untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Sebahagian daripada hasil penyenaraian itu juga akan disalurkan kepada keperluan modal kerja, termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membayar balik pinjaman bank, merangkumi pinjaman berjangka untuk pemasangan Sistem Solar, jelas syarikat itu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 hingga 2021, hampir kesemua hasil Seng Fong diperoleh daripada jualan kepada pelanggan antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Lee Jim Leng mengucapkan tahniah kepada Seng Fong kerana telah menerima kelulusan SC untuk penyenaraian dan berharap dapat bekerjasama dengan pengurusannya dalam menyediakan penyenaraian di Pasaran Utama.

“Seng Fong ialah perniagaan yang kukuh dengan sejarah sejak 1986 dalam industri di mana permintaan terus berkembang dengan stabil. Kami tidak ragu-ragu bahawa syarikat akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN