PETALING JAYA: Sektor eksport dijangka menerima tempias positif berikutan nilai ringgit yang semakin menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kesan limpahan positif dapat dilihat apabila mereka yang menerima bayaran barangan yang dijual, sektor eksport dan bayaran diterima dalam dolar AS menerima durian runtuh.
“Sektor eksport menerima tempias positif daripada harga barangan yang menjadi lebih murah, maka permintaan akan meningkat.
“Sektor pelancongan kita juga menerima kesan positif akibat kejatuhan mata wang ringgit. Ia akan menjadikan kita sebagai destinasi kegemaran untuk pelancong.
“Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara atau yang sedang belajar di luar negara akan terasa kesempitannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, ujarnya, mereka yang terlibat dalam penggunaan barangan intermediari dari luar negara, yang memerlukan pembayaran dalam dolar AS akan terjejas dengan teruk kerana kos pengeluaran naik dengan amat drastik.
“Secara pukal, ekonomi negara dijangka menerima kesan yang agak bercampur aduk. Sektor eksport dijangka akan kekal sihat, manakala sektor yang menggunakan barang luar yang diimport sebagai bahan utama pengeluaran bahan akhir akan merasai sebaliknya,” ujarnya.
Dalam kebanyakan hari dagangan minggu ini, ringgit ditutup rendah apabila permintaan terhadap dolar AS yang kukuh terus mendominasi selain ketidaktentuan dalam pasaran minyak yang menyebabkan harga tersekat pada AS$100 setong turut menjejaskan mata wang tempatan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga import akan meningkat sekiranya nilai mata wang ringgit merosot berbanding mata wang asing yang lain seperti dolar AS.
Jelasnya, itu akan menyebabkan kos mengimport bahan mentah, barang separuh siap dan sudah siap turut meningkat.
“Namun, terpulang kepada para peniaga untuk menterjemahkan kenaikan kos itu kepada para pengguna dengan menaikkan harga jualan.
“Bagi yang mempunyai pengurusan kos yang cekap, mungkin mereka boleh bertahan sementara waktu bagi memelihara penguasaan pasaran mereka. Mungkin ada juga peniaga yang terus menaikkan harga jualan serta merta bagi mempertahankan margin keuntungan mereka,” jelasnya. – UTUSAN