PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) memperkenalkan Rangka Kerja Kelestarian baharunya dan bakal melabur RM10 bilion dalam aset hijau dan peralihan baharu menjelang 2030 di bawah program tersebut.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, rangka kerja itu menyatukan semua usaha PNB dalam pelbagai bidang kelestarian selama bertahun-tahun ke dalam satu rangka kerja yang jelas dan komprehensif.
Ujarnya, ia menggariskan 10 komitmen untuk operasi PNB sendiri dan juga pelaburannya di bawah tiga teras iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Terdapat tekanan yang hebat pada masa kini untuk syarikat menunjukkan prestasi kewangan dan pada masa yang sama turut menerapkan aspek ESG ke dalam perniagaan mereka.
“Kami percaya melalui usaha kolektif kami, cara baharu menjalankan perniagaan ini akan mewujudkan manfaat yang bermakna untuk PNB, syarikat pelaburan kami, rakan kongsi serta pihak berkepentingan lain, dan pastinya jutaan rakyat Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk mengurus pelaburan mereka,” katanya dalam majlis taklimat media mengenai Pengenalan Rangka Kerja Kelestarian PNB secara maya, semalam.

Selain pelaburan dalam aset hijau dan peralihan, PNB turut berusaha untuk menyelaraskan usaha kelestariannya dengan komited menjadikan Syarikat Sifar Bersih menjelang 2025 serta mencapai Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.
Bagi teras sosial, PNB bermatlamat untuk menangani isu-isu mengenai ekuiti dan keterangkuman, termasuk mengambil pendirian tegas terhadap isu hak buruh demi mengukuhkan lagi Rangka Kerja Pengawasan yang dilancarkan pada 2020, memastikan semua kakitangan PNB memperoleh gaji melebihi upah sara hidup menjelang 2023 dan menetapkan sasaran 40 peratus penyertaan wanita di peringkat pengurusan kanan menjelang 2025.
Di bawah teras ini, syarikat juga komited untuk mengimbangi keuntungan PNB dengan pelaburan sosial agar sejajar dengan misi meningkatkan kekayaan untuk Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.
Tumpuan teras tadbir urus pula adalah untuk PNB menjadi lebih telus dan aktif secara strategik dalam melibatkan isu berkaitan ESG dan perubahan iklim.
PNB menyokong amalan tadbir urus yang kukuh dengan cara mewujudkan Model Pengawasan Triple Bottom Line, untuk memacu ketelusan yang lebih tinggi dalam pengundian dan memastikan pendedahan pelaporan adalah selaras dengan Pasukan Petugas untuk Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria memberitahu, sebagai satu institusi pengurusan dana terbesar negara dengan kira-kira 10 peratus dilaburkan dalam syarikat domestik yang tersenarai di bursa tempatan, PNB mempunyai tanggungjawab untuk mengemudi kerumitan perjalanan ESG.
“Kami percaya lebih banyak lagi boleh dicapai secara kolektif dan dengan itu PNB akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam memajukan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam tentang ESG, serta penggunaan dan amalan terbaiknya untuk kekal mampan,” ujarnya. – UTUSAN










