Petronas Gas peruntuk capex sebanyak RM1.4 bilion tahun ini.

Petronas Gas peruntuk capex lebih besar

Petronas Gas Berhad komited untuk memenuhi komitmen mengedarkan gas ke seluruh Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Bhd. (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM1.4 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, sedikit lebih tinggi berbanding RM1.2 bilion pada tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Othman berkata, PGB menjangkakan lebih banyak kerja penyelenggaraan dalam tahun kewangan semasa apabila negara beralih ke fasa endemik.

“Kami menjangkakan lebih banyak aktiviti penyelenggaraan serta lebih banyak kemajuan dalam pertumbuhan projek seperti yang telah kami umumkan tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PGB ke-39, semalam.

Yang turut serta, Pengerusi PGB, Adnan Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Kewangan PGB, Shariza Sharis Mohd. Yusof.

PGB turut merekodkan keputusan cemerlang bagi tahun kewangan 2021 selepas keuntungan selepas cukainya melepasi RM2 bilion buat tahun kedua berturut-turut kepada RM2.11 bilion, satu peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Berikutan keputusan kewangan positif, kumpulan mengisytiharkan dividen berjumlah 82 sen sesaham bagi tahun dikaji termasuk dividen khas sebanyak 10 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada nisbah pembayaran dividen sebanyak 81.6 peratus.

Menurut Abdul Aziz, prestasi kewangan PGB yang kukuh dicapai melalui fokus kumpulan untuk memastikan perniagaannya menyesuaikan diri dengan pelbagai pihak berkepentingannya dan portfolio pelanggan yang semakin meningkat.

“Melalui usaha inovatif, kami mengekalkan kecemerlangan operasi dengan cara paling selamat, meraih prestasi operasi bertaraf dunia dan kekal menguntungkan.

“Tahun kewangan 2021 menyaksikan PGB memenuhi komitmen untuk mengedarkan gas ke seluruh Malaysia melalui operasi yang selamat dan berkesan, memanfaatkan teknologi digital untuk memastikan perniagaan tanpa gangguan dan komunikasi berterusan antara kakitangan dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah beliau, melangkah ke hadapan, PGB akan terus merebut peluang untuk menyampaikan penyelesaian gas dengan cara yang bertanggungjawab dan mampan, sambil memajukan dan merealisasikan projek pertumbuhan yang telah dikenal pasti.

“Ini termasuk mencapai penyelesaian bersepadu untuk kuasa dan utiliti di zon perindustrian baharu di Malaysia, meningkatkan kapasiti penjanaan kuasa dan pengegasan semula di Malaysia dan serantau, serta meneroka peluang yang dibawa oleh peralihan tenaga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×