PETALING JAYA: Permohonan hak trafik udara telah meningkat sebanyak 650 peratus berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, menurut Laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku pertama 2022 yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
Bagi suku pertama 2022, MAVCOM telah meluluskan 95.4 peratus daripada 22 permohonan ATR yang diterima, dan memberikan 21 kelulusan ATR kepada lapan syarikat penerbangan.
Sebanyak 22 permohonan ATR yang dikemukakan kepada Suruhanjaya menunjukkan penurunan sebanyak 0.08 peratus, berbanding 24 permohonan yang diterima bagi suku sama 2021.
Menurut MAVCOM, syarikat penerbangan menunggu pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia sebelum membuat permohonan dan ini menyumbang kepada penurunan dalam kadar permohonan ATR.
Daripada 22 permohonan yang diterima secara keseluruhan, 14 ATR adalah bagi laluan antarabangsa, manakala baki sebanyak 8 ATR adalah bagi laluan domestik.
“Namun, berikutan pengumuman kerajaan mengenai pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April 2022, terdapat lonjakan ketara dalam permohonan ATR.
“Sebanyak 15 permohonan ATR telah dikemukakan kepada MAVCOM antara 1 April 2022 dan 15 April 2022.
“Permohonan tersebut terdiri daripada tujuh ATR bagi sektor kargo termasuk penerbangan Penumpang ke Kargo (Passenger to Cargo), tiga ATR bagi penerbangan penumpang untuk laluan udara domestik, dan lima ATR bagi penerbangan penumpang bagi laluan udara antarabangsa.
“Itu menunjukkan peningkatan sebanyak 650 peratus dalam permohonan yang diterima dalam tempoh 15 hari tersebut, berbanding dua permohonan yang diterima antara 1 dan 15 Mac 2022,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, sejak pengumuman kerajaan mengenai pembukaan sepenuhnya sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April 2022, terdapat peningkatan permohonan ATR daripada syarikat penerbangan.
Ujarnya, itu sememangnya satu perkembangan yang memberangsangkan kerana ia menandakan industri penerbangan sedang beralih ke arah pemulihan secara beransur-ansur.
“Selain itu, menurut siasatan MAVCOM berhubung isu tambang penerbangan tinggi ke Sabah dan Sarawak, MAVCOM ingin melaporkan bahawa sebanyak 1,141 kekerapan penerbangan telah diluluskan bagi laluan antara Semenanjung Malaysia ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Sibu, Kuching, Bintulu, Miri dan Labuan untuk penerbangan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri, iaitu dari 27 April hingga 8 Mei 2022.
“Pemerhatian terbaru MAVCOM pada 21 April 2022 menunjukkan kebanyakan tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM200 hingga RM500 semasa tempoh perjalanan yang sama.
“Pengurangan itu adalah disebabkan peningkatan kekerapan penerbangan dan penambahan tiket penerbangan yang tersedia bagi pengguna.
“MAVCOM tidak mengawal tambang penerbangan kerana ia ditentukan berdasarkan mekanisme harga dinamik yang digunakan oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia dan turut dipraktikkan dalam pelbagai industri,” katanya.
Bagi permohonan ATR untuk sektor kargo, MAVCOM telah menerima dan meluluskan sebanyak lapan permohonan ATR pada suku pertama 2022.
Walaupun ia mewakili penurunan sebanyak 38.5 peratus berbanding 13 ATR yang diterima pada suku keempat 2021, pertumbuhan kargo kekal sihat akibat kekurangan kapasiti kargo yang berterusan. – UTUSAN










