PETALING JAYA: Pembukaan sempadan antarabangsa negara membantu para peniaga terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan kembali pusingan modal mereka lebih awal.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin berkata, pemulihan itu dipacu kehadiran para pelancong asing yang kini telah mula memasuki negara, dengan jangkaan Malaysia akan menerima lebih dua juta pelancong asing tahun ini.
Jelasnya, perniagaan tempatan akan lebih rancak tahun hadapan sekiranya jumlah kemasukan pelancong asing semakin meningkat dalam fasa peralihan endemik ini.
“Kami jangkakan proses pemulihan PKS bumiputera akan berjalan lancar tahun ini kerana pembukaan sempadan memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi, khususnya sektor pelancongan negara.
“Ini disebabkan peniaga Melayu kebanyakannya terdiri daripada sektor perkhidmatan dan pelancongan di mana kebanyakan rumah sewa, hotel kecil serta rumah inap dijalankan oleh peniaga Melayu.
“Setelah lebih dua tahun tidak memperoleh hasil jualan dan perkhidmatan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan serta penutupan sempadan negara, ini adalah satu masa terbaik untuk mereka mendapatkan pulangan modal seterusnya memperkukuh perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri sebelum ini memaklumkan, Malaysia dijangka menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan RM8.6 bilion pendapatan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan.
Pembukaan semula sempadan Malaysia akan membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan yang banyak diusahakan PKS tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng memaklumkan, pihaknya melihat pemulihan berhati-hati dalam kalangan PKS secara menyeluruh dan bukan hanya dalam sektor pelancongan.
“Kami menjangkakan PKS secara amnya akan pulih sejajar dengan unjuran Bank Negara antara 5.3 hingga 6.3 peratus, dengan syarat tiada cabaran baharu seperti varian Covid-19 yang lebih bahaya atau peraturan baharu yang akan menghalang pertumbuhan PKS.
“Memandangkan PKS lebih teruk terjejas oleh wabak berbanding syarikat yang lebih besar, secara teorinya pemulihan PKS akan lebih baik daripada syarikat yang lebih besar.
“Walau bagaimanapun, pengumuman baru-baru ini seperti kenaikan 25 peratus dalam gaji minimum dan ketidakpastian berterusan dalam kos membawa masuk pekerja asing dan kos logistik yang meningkat boleh memperlahankan pertumbuhan,” ujarnya. – UTUSAN










