Pasaran buruh negara sedang menuju ke arah pemulihan.

Pasaran buruh ke arah pemulihan

PRODUKTIVITI buruh per jam bekerja di Malaysia mencatatkan pertumbuhan meyakinkan sebanyak 4.9 peratus kepada RM46.3 setiap jam pada suku tahun keempat 2025. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh negara sedang menuju ke arah pemulihan dengan peningkatan yang berterusan sejak Januari 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, situasi itu disebabkan oleh pelonggaran sekatan sosioekonomi berikutan negara telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Kata beliau, fasa peralihan ke endemik berkuat kuasa mulai 1 April 2022 telah membuka lebih banyak peluang di mana perniagaan dibenarkan beroperasi seperti pada waktu pra-pandemik, manakala sempadan antarabangsa kembali dibuka.

Jelasnya, bertepatan dengan persediaan menyambut Ramadan dan perayaan Aidilfitri, dijangka akan mendorong lebih banyak permintaan terhadap barang dan perkhidmatan.

“Perkembangan positif ini akan dapat menyumbang kepada pengambilan lebih ramai pekerja, pewujudan jawatan baharu seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Justeru, pasaran buruh Malaysia dijangka dapat mempercepatkan momentum pemulihannya dalam masa terdekat berikutan prestasi ekonomi dilihat terus bertambah baik,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai kedudukan pasaran buruh pada tahun lalu, Mohd. Uzir berkata, negara merekodkan bilangan penduduk bekerja berjumlah 15.1 juta, meningkat 0.7 peratus atau 107,400 daripada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga yang ditunjukkan oleh nisbah guna tenaga kepada penduduk bertambah sebanyak 0.1 mata peratus tahun ke tahun mencatatkan 65.4 peratus (2020: 65.3%).

Dari segi taraf pekerjaan pula katanya, kategori pekerja merangkumi komposisi terbesar penduduk bekerja iaitu sebanyak 78.5 peratus pada 2021.

Tambah beliau, bilangan penduduk bekerja dalam kategori ini mencatatkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 2.3 peratus kepada 11.8 juta orang (2020: 11.6 juta orang). Manakala, kategori penduduk bekerja sendiri yang menyumbang sebanyak 14.8 peratus mencatatkan penurunan kepada 2.2 juta orang (-6.4%).

“Komposisi utama penduduk bekerja di Malaysia adalah dalam kategori pekerjaan separuh mahir yang menyumbang lebih daripada separuh (57.7 peratus) daripada jumlah penduduk bekerja pada 2021 atau bersamaan 8.7 juta orang. Penduduk bekerja dalam kategori mahir pula merangkumi 29.6 peratus (4.5 juta orang), manakala berkemahiran rendah sebanyak 12.7 peratus (1.9 juta orang).

“Mengikut sektor ekonomi, majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor Perkhidmatan sebanyak 64.9 peratus, diikuti Pembuatan (16.6%) dan Pertanian (10.3%). Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor Pembinaan dan Perlombongan & pengkuarian masing-masing mencatatkan 7.7 peratus dan 0.5 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN