MOSCOW: Pengguna Netflix Rusia telah memfailkan saman ganti rugi sebanyak 60 juta rubel (AS$726,000/RM3.06 juta) terhadap syarikat penstriman gergasi itu kerana menggantung perkhidmatannya di negara itu, lapor agensi berita RIA pada Rabu.
Pada Mac lalu, Netflix Inc. berkata, ia menggantung perkhidmatannya di Rusia dan telah menghentikan semua projek buat sementara serta pemerolehan masa depan di negara itu selepas menilai kesan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Menurut RIA, firma guaman Chernyshov Lukoyanov & Partners, yang mewakili pengguna terbabit telah memfailkan saman terhadap syarikat penstriman Amerika Syarikat itu di Mahkamah Daerah Khamovnichesky Moscow.
“Tuntutan mahkamah itu dilakukan kerana terdapat pelanggaran hak pengguna Rusia kerana Netflix menolak untuk menyediakan perkhidmatan di Rusia,” lapor agensi berita itu.
Difahamkan, ketika ini sebanyak 20 individu telah memfailkan saman tersebut dan lebih 100 lagi dijangka mengemukakan tuntutan sama.
Netflix bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk memberi komen mengenai tuntutan berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, media melaporkan bahawa pihak berkuasa di wilayah Duma mencadangkan pengharaman selama setahun ke atas saluran Duma TV di YouTube.
Menurut laporan media, sebilangan besar syarikat asing telah mengumumkan penutupan sementara kedai dan kilang di Rusia atau akan ‘pergi selama-lamanya’ sejak Moscow memulakan operasi ketenteraan khas di Ukraine pada 24 Februari lalu.
Ukraine dan Barat mengatakan Rusia melancarkan perang pencerobohan tanpa provokasi terhadap negara jirannya itu. – AGENSI










