KLANG: MBSB Bank Berhad menyalurkan sumbangan sebanyak RM420,000 untuk kerja amal melibatkan sebanyak 14 rumah kebajikan di seluruh negara sempena Ramadan tahun ini.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, sumbangan melibatkan bantuan makanan asas, perkakas dan barangan elektrik.
“Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan bernilai RM30,000 dan dihantar ke lokasi masing-masing.
“Dalam menghayati Ramadan tahun ini, kami merasakan ia amat penting bagi kami untuk mengurangkan beban pihak yang memerlukan,” katanya berucap sempena Majlis Iftar MBSB Bank Bersama Anak-Anak Yatim di Hotel Wyndham Acmar di sini, malam tadi.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari dan Ketua Pegawai Korporatnya, Azlina Rashad.
Nor Azam berkata, pihaknya amat prihatin dengan keperluan masyarakat yang menghadapi masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 dan banjir tahun lalu.
Katanya lagi, antara penerima bantuan kewangan tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah, Baitul Barokah Wal Mahabbah, Maahad Tahfiz Mumtazatut Taqwa dan lain-lain.
Pada program berbuka puasa tersebut, pihak MBSB Bank meraikan 40 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah.
“Demi memeriahkan suasana dan memudahkan mereka membeli keperluan Aidilfitri duit raya turut dihulurkan,” katanya.
Dalam pada itu, MBSB Bank turut menyampaikan anugerah “Heart Of Gold” kepada kakitangan yang aktif dalam kerja-kerja kesukarelawanan anjuran pihaknya dan atas inisiatif mereka sendiri. – UTUSAN










