PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines Bhd. optimis berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pemulihan berdasarkan situasi pasaran selepas pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan MAG, Philip See berkata, pemulihan tersebut termasuk jangkaan prestasi Malaysia Airlines akan kembali seperti sebelum pandemik pada 2024 atau 2025 nanti.
Jelasnya, pihaknya turut menjangkakan pulangan modal dan aliran kewangan positif menjelang 2023.
“Kami menyasarkan untuk menggandakan pendapatan daripada perniagaan sokongan seperti penjualan pakej pelancongan, makanan dan pemilihan tempat duduk menjelang 2025.
“Kesemua pertumbuhan yang disasarkan ini turut bergantung kepada situasi pasaran selepas sempadan dibuka, namun kami kini berada di landasan yang tepat untuk mencapainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara MAG dengan Kumpulan Sunway, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Izham Ismail; Pengarah Eksekutif Sunway Group, Sarena Cheah; Pengerusi Malaysia Airlines dan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.
Terdahulu, Izham dalam ucapannya berkata, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke sini telah melepasi paras 20 peratus daripada unjuran kumpulan tahun ini pada awal suku kedua 2022.
“Kerjasama ini adalah peristiwa penting untuk kedua-dua jenama, kerana kami bergabung tenaga untuk memajukan kehidupan berjuta-juta orang dan perniagaan yang terjejas oleh wabak terutamanya dalam bidang penerbangan, hartanah, pendidikan, pelancongan perubatan, dan hospitaliti.
“Kerjasama kami dengan Sunway Group hari ini menunjukkan bagaimana organisasi yang mempunyai nilai dan matlamat yang dikongsi boleh membuka jalan untuk mempercepatkan pertumbuhan industri dan ekonomi,” ujarnya.
Melalui MoU ini, Malaysia Airlines akan dilantik sebagai syarikat penerbangan pilihan Sunway, mencerminkan keyakinan Sunway terhadap perkhidmatan premium di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Pada masa sama, Sunway akan memanfaatkan peluang baharu melalui cabang operasi pelancongan syarikat penerbangan iaitu MHholidays; program pelancongan pelajar digital, MHexpiorer dan program ganjaran bersama melalui program kesetiaan Perjalanan dan Gaya Hidup syarikat penerbangan itu, Enrich.
Perkongsian ini bertujuan untuk menawarkan pakej pelancongan komprehensif yang meliputi penerbangan, penginapan hotel dan tarikan yang menjanjikan perancangan tanpa kerumitan semua dalam satu selain turut menawarkan pakej pelancongan perubatan terpilih. – UTUSAN










